156 PANGKALAN HADAPAN TERIMA HAMPIR 20 TAN MAKANAN KERING

Oleh : BARD
November 24, 2023 - 11:00 MYT
156 PANGKALAN HADAPAN TERIMA HAMPIR 20 TAN MAKANAN KERING
Siti Nor Hasma mengiringi Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM Pahang baru-baru ini.

Sebanyak satu hingga 20 tan makanan kering diagihkan ke 156 pangkalan hadapan di seluruh Pahang sebagai persediaan menghadapi bencana Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Siti Nor Hasma Mat Isa berkata, bekalan makanan yang diagihkan ke semua pangkalan hadapan membabitkan peruntukan lebih RM2.8 juta.

Menurutnya, jumlah bantuan di setiap pangkalan hadapan bergantung pada jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) dan mangsa banjir di kawasan terlibat.

"Sebagai contoh agihan beras seberat lima kg (kilogram), di Kuantan sebanyak 972 kg sahaja manakala di Jerantut (3,838 kg) dan Temerloh pula 3,696 kg.

"Jadi, kapasiti agihan (bekalan makanan) bagi setiap pangkalan hadapan tidak sama. Namun bantuan yang disediakan mampu bertahan antara tujuh hingga 14 hari bergantung pada jumlah mangsa banjir di setiap PPS," katanya pada Khamis.

Beliau memaklumkan sembilan jenis makanan kering diagihkan antaranya beras, minyak masak, gula, biskut, sardin, kari ayam dalam tin, teh, kopi dan garam.

Jelasnya, agihan bekalan makanan kering itu sudah diselesaikan pada Rabu minggu lalu.

Siti Nor Hasma menambah, pihaknya juga membekalkan ikan, ayam, sayur dan rempah, selain daripada bekalan makanan kering.

"Kit untuk mangsa banjir mengandungi biskut, air mineral dan air jus juga diedarkan kepada mangsa.

"Malahan, bantuan tambahan akan dilakukan sekiranya keadaan memerlukan," katanya.

Menjawab mengenai kesiapsiagaan kakitangan JKM, Siti Nor Hasma berkata, semua pegawai dan kakitangan telah diingatkan supaya bersedia untuk bertugas tanpa mengira waktu sekiranya banjir berlaku.

Katanya, setiap daerah mempunyai stor simpanan barangan bantuan banjir, sembilan daerah memiliki depoh mini kontena simpanan sementara sebelum operasi agihan dilakukan.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow