Jasa Petugas Kesihatan Dihargai, 761 Warga Kesihatan Bentong Terima Baucar
Seramai 761 petugas kesihatan di daerah Bentong menerima Baucar Aspirasi Pahang 1st sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pahang terhadap jasa, pengorbanan dan komitmen mereka dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, inisiatif yang dicetuskan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail itu bertujuan memastikan penghargaan kerajaan dapat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat, khususnya petugas barisan hadapan sektor kesihatan.
Menurut beliau, sumbangan setiap petugas, daripada pemandu hingga doktor dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Beliau turut berharap penghargaan tersebut dapat menyuntik semangat kepada semua petugas untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen, terutama dalam memastikan kesihatan dan kebersihan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Kalau rakyat sihat, insya-Allah negeri pun sihat,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian baucar berkenaan di La’man To’ki, Lebu, Bentong.
Tambah beliau, kerjasama erat dan semangat berpasukan dalam kalangan petugas kesihatan amat penting bagi memastikan perkhidmatan yang cekap, berkesan dan menyeluruh dapat dinikmati oleh rakyat.
Inisiatif ini mencerminkan usaha Kerajaan Negeri Pahang menghargai sumbangan warga kesihatan yang menjadi antara tunjang penting dalam membina masyarakat yang sihat, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Pahang sebuah negeri yang lebih makmur dan sejahtera.
Apa Reaksi Anda?











