Covid-19: Varian XFG kini dikesan di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kehadiran varian baharu Covid-19, XFG dalam kalangan kes yang dilaporkan di negara ini sehingga Minggu Epidemiologi ke-35/2025.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad berkata, varian XFG kini menyumbang 8.2 peratus daripada keseluruhan sampel yang dianalisis melalui pengesanan genomik iaitu 43,087 kes.
"Walaupun kadar pengesanan XFG masih rendah, KKM terus menjalankan pemantauan rapi bagi menilai potensi risiko varian ini kepada komuniti serta memastikan langkah pencegahan dan vaksinasi dapat diteruskan," katanya menerusi hantaran di platform X pada Jumaat.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) XFG merupakan kombinasi atau hibrid daripada dua strain omikron sedia ada, iaitu LF.7 dan LP.8.1.2.
XFG pertama kali dikesan di Kanada pada Januari lalu dan dilaporkan telah dikesan di sekurang-kurangnya 38 negara.
WHO telah menetapkan XFG sebagai varian dalam pemantauan sejak 25 Jun lalu susulan pertambahan dalam kadar pertukaran atau penyebaran varian ini di beberapa rantau seperti Asia Tenggara, Amerika dan Eropah.
Namun, setakat ini tiada bukti yang menyatakan XFG menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding varian Omicron sedia ada.
Dalam pada itu, Dzulkifly menjelaskan pengesanan genomik turut mendapati varian NB.1.8.1 kekal dominan dengan 39.4 peratus pengesanan, diikuti JN.1 (18.1 peratus) dan XEC (13.3 peratus), manakala varian lain merangkumi 21 peratus.
Beliau turut memaklumkan kes Covid-19 di negara ini kekal terkawal dengan 43,087 kes dilaporkan secara kumulatif sehingga ME35/2025, iaitu penurunan hampir 50 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Hanya satu kematian direkodkan pada minggu tersebut membabitkan seorang warga emas berusia 91 tahun," katanya.
Orang ramai terus diingatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan, memakai pelitup muka ketika bergejala atau berada di tempat sesak serta mendapatkan vaksinasi terutama bagi golongan berisiko tinggi.
Apa Reaksi Anda?






