'7 pemain 'warisan' dinasihat lepas kerakyatan secara sukarela'
Tujuh pemain ‘warisan’ Harimau Malaya dinasihatkan supaya mempamerkan integriti dan kejujuran dengan melepaskan kerakyatan Malaysia secara sukarela.
Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, tindakan itu dilihat sebagai langkah paling wajar selepas isu tersebut terus menjadi polemik apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan bahawa dokumen yang dihantar kepada badan induk bola sepak dunia itu palsu.
Menurutnya, memandangkan status mereka tidak sah dan tidak boleh beraksi bersama Harimau Malaya, lebih baik pemain terbabit bertindak jujur melepaskan kerakyatan sekali gus menamatkan polemik yang dilihat tiada kesudahan.
“Saya harap pemain sendiri mempunyai integriti dan kejujuran yang tinggi. Mereka boleh menyerahkan atau membatalkan kerakyatan tersebut secara sukarela kerana kita tahu mereka pasti memegang dua kerakyatan.
“Pilihlah satu yang betul. Kita menuntut disiplin dan kejujuran pemain itu sendiri. Jika pihak berkuasa Malaysia sukar membuat keputusan, biarlah pemain sendiri yang bertindak.
"Apatah lagi mereka kini tidak boleh beraksi untuk pasukan negara dan perlu menunggu lima tahun lagi untuk layak bermain bersama Harimau Malaya,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu membabitkan status kerakyatan tujuh pemain itu perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat FAM sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula memaklumkan bahawa proses pemberian kerakyatan sebelum ini dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada.
FIFA pada September tahun lalu mendapati wujud unsur pengubahsuaian atau pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan tujuh pemain 'warisan' negara.
Susulan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.7 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM9,800) berserta penggantungan selama 12 bulan.
Walaupun FAM telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Oktober 2025, mahkamah bagaimanapun menolak rayuan tersebut pada Mac lalu dan mengekalkan hukuman FIFA.
Biarpun digantung, pemain terbabit masih dibenarkan menjalani latihan dan kekal bersama kelab masing-masing, namun mereka dilarang daripada beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi sepanjang tempoh penggantungan.
Apa Reaksi Anda?











