‘UMNO Bukan Lahir Kerana Musim, Tetapi Atas Dasar Tanggungjawab’
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan bahawa penubuhan UMNO bukan berlandaskan kepentingan sementara, sebaliknya lahir daripada amanah besar untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, meskipun UMNO telah melalui pelbagai fasa perjuangan sepanjang usia penubuhannya namun parti keramat ini kekal utuh berpaksikan prinsip yang sama termasuk menjunjung institusi Raja sebagai payung kedaulatan negara.
“UMNO bukan lahir kerana musim. UMNO lahir kerana tanggungjawab. Di sebalik usia perjuangan yang panjang, UMNO terus berdiri atas asas yang sama mempertahankan agama, bangsa dan tanah air, dengan adab yang menjunjung institusi Raja sebagai payung negeri dan negara.
“Sambutan ulang tahun ini bukan sekadar mengenang sejarah. Ia adalah peringatan bahawa perjuangan ini sentiasa bersambung. Daripada satu generasi kepada satu generasi. Daripada bahu mereka yang terdahulu, kini amanah itu beralih kepada kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Katanya lagi, tanggungjawab generasi hari ini bukan sekadar mewarisi nama UMNO, tetapi memastikan roh perjuangannya terus hidup.
Menurut beliau usaha ini penting bagi memastikan UMNO kekal membawa nadi perjuangan, suara pembelaan dan harapan bangsa.
“UMNO mesti terus menjadi parti yang berprinsip. Tegas apabila maruah bangsa dicabar. Setia apabila institusi Raja perlu dipertahankan. Rendah hati apabila rakyat menuntut pembelaan.
“Kerana perjuangan ini bukan perjuangan yang ada noktahnya. Ia adalah tanggungjawab yang sentiasa bersambung selagi mana agama mesti dipelihara, bangsa mesti dibela dan tanah air mesti dijaga serapinya,” ujar beliau.
Apa Reaksi Anda?











