UMNO Perlu Pertahan Prinsip Di Sebalik Pergolakan Dalam Bersatu
Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat belasan pemimpin termasuk beberapa Ahli Parlimen membuka episod baharu dalam landskap politik tanah air.
Langkah drastik itu bukan sahaja mencerminkan ketegangan dalaman malahan menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju serta kelangsungan parti berkenaan.
Dalam politik, pemecatan pimpinan kanan bukan perkara kecil. Ia pasti mengundang kesan rantaian apabila penyokong yang setia kepada individu tertentu akan berasa tersisih, jentera akar umbi menjadi longgar dan mesej parti kepada rakyat semakin kabur.
Bagi sebuah parti yang tidak memiliki keahlian sebesar parti-parti arus perdana lain, kehilangan beramai-ramai bukan sekadar isu disiplin tetapi juga soal survival.
Apa yang lebih penting, krisis dalaman ini menghidupkan kembali perbincangan lama iaitu apakah wajar Bersatu mencari jalan untuk bekerjasama dengan UMNO?
Ada yang mengaitkannya dengan gagasan “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai payung penyatuan politik Melayu dan bumiputera dalam kerangka lebih luas.
Namun, sejarah tidak boleh dipadam begitu sahaja. Bersatu ditubuhkan dalam konteks persaingan secara langsung dengan UMNO.
Malah, penubuhannya dilihat sebagai usaha mengambil alih peranan UMNO sebagai wadah utama politik Melayu, juga berawal dari beberapa pemimpin kanannya yang kecewa.
Persamaan nama, penggunaan warna merah dan naratif perjuangan yang hampir serupa pernah menimbulkan persepsi bahawa Bersatu mahu menggantikan, bukan melengkapkan, UMNO.
Malahan kata-kata sini pemimpin tertinggi mereka bahawa UMNO sudah masuk longkah, menjelaskan lagi cita-cita besar mereka.
Justeru, realiti ini menjadikan cadangan kerjasama bukan sekadar isu taktikal tetapi isu prinsip.
UMNO sebagai parti berusia lebih tujuh dekad mempunyai sejarah panjang — jatuh bangun, krisis dalaman dan perpecahan bukan perkara baharu.
Namun parti itu tetap bertahan kerana asas perjuangannya jelas dan disiplin organisasinya kukuh.
Pengajaran lampau juga wajar diambil kira. Sejarah politik Malaysia menyaksikan beberapa episod perpecahan dan penyatuan semula, termasuk pembubaran Parti Melayu Semangat 46 yang kembali menyertai UMNO pada 1996.
Ketika itu, penyatuan berlaku melalui pembubaran parti dan kemasukan sebagai ahli biasa, bukan melalui tawar-menawar kedudukan.
Jika benar ada dalam kalangan pemimpin dan ahli Bersatu yang ingin kembali, UMNO tidak seharusnya menutup pintu.
Politik adalah seni kemungkinan. Namun pintu itu mesti disertai syarat tegas.
Parti tidak boleh mengulangi kesilapan menerima semula tokoh tertentu, memberi kedudukan strategik, kemudian berdepan episod pengkhianatan yang sama.
Cadangan agar bekas ahli tidak dibenarkan bertanding jawatan parti dalam tempoh tertentu, misalnya lima tahun adalah wajar.
Begitu juga larangan dicalonkan dalam pilihan raya sekurang-kurangnya untuk satu penggal.
Ini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya memberi ruang membuktikan kesetiaan serta menjamin keadilan kepada ahli yang setia mempertahankan parti ketika diuji.
Bagi Bersatu pula, pilihan yang ada semakin terhad. Krisis dalaman yang berpanjangan akan melemahkan struktur organisasi dan keyakinan pengundi.
Jika mahu kembali bersama UMNO, pendekatan paling tuntas ialah pembubaran parti dan penyertaan sebagai ahli biasa dan bukan melalui rundingan kuasa.
Akhirnya, politik bukan sekadar soal angka dan strategi jangka pendek. Ia soal kepercayaan, konsistensi dan prinsip.
UMNO perlu berpijak pada asas perjuangan sendiri dan tidak tergesa-gesa membuat keputusan yang boleh mengundang implikasi jangka panjang.
Dalam suasana politik yang semakin dinamik, ketegasan berprinsip lebih bernilai daripada percaturan yang kelihatan menguntungkan, tetapi berisiko mengulangi sejarah silam.
Apa Reaksi Anda?











