Sekolah Patriotik UMNO Platform Lahirkan Generasi Muda Berwibawa, Jiwa Kepimpinan

Oleh : BARD
Mei 18, 2026 - 12:00 MYT
Sekolah Patriotik UMNO Platform Lahirkan Generasi Muda Berwibawa, Jiwa Kepimpinan

Naib Presiden UMNO, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) sebagai platform penting dalam melahirkan generasi muda berwibawa, berjiwa patriotik serta memiliki nilai kepimpinan tinggi untuk masa depan negara.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola SPU berkata program ini telah membuktikan keberkesanannya dalam membentuk anak muda yang mampu bersaing dan menyumbang dalam pelbagai bidang.

“Alhamdulillah setakat ini kita sudah melahirkan ramai anak-anak SPU dan mereka kini berada di pasaran dalam pelbagai bidang.

“Program seperti ini amat penting dalam membentuk generasi muda yang berani, bersemangat patriotik, mempunyai nilai kepimpinan serta sentiasa bersedia menghadapi cabaran demi agama, bangsa dan negara.

“Semoga segala usaha ini dapat terus melahirkan anak muda yang celik politik, berkualiti dan berdaya saing sekaligus dapat memimpin negara dengan lebih baik kelak insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas berkongsi kehadirannya pada majlis perasmian penutup Program Survivor dan Taktikal Patriot 5 SPU di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik.

Mengulas lanjut berkenaan penganjuran program tersebut katanya ia dapat membentuk ketahanan fizikal dan mental peserta, di samping menyemai semangat patriotisme serta memperkukuh jati diri dalam kalangan anak muda.

“Tahniah dan syabas kepada semua peserta yang telah menunjukkan semangat disiplin, ketahanan mental serta jati diri yang tinggi sepanjang program berlangsung,” ujar beliau.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow