PERDAGANGAN MALAYSIA LEPASI RM2 TRILION DALAM 10 BULAN

Oleh : PAHANGKU
November 20, 2023 - 12:24 MYT
PERDAGANGAN MALAYSIA LEPASI RM2 TRILION DALAM 10 BULAN
Prestasi perdagangan Malaysia seiring dengan rakan dagang utama seperti China, Taiwan dan Indonesia - Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, dengan mencecah nilai RM2.181 trilion.

Prestasi itu dicapai melalui eksport yang berjumlah RM1.186 trilion, manakala import bernilai RM995.55 bilion dalam tempoh 10 bulan.

Perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak lapan peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, manakala lebihan dagangan berkurang 7.9 peratus kepada RM190.04 bilion.

Sementara itu, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan Malaysia pada Oktober 2023 berkembang 6.8 peratus kepada RM239.52 bilion.

Eksport meningkat 1.5 peratus kepada RM126.19 bilion dan import mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.4 peratus kepada RM113.33 bilion.

Lebihan dagangan mencecah RM12.87 bilion, menjadi lebihan dagangan yang ke-42 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) menerusi satu kenyataan berkata, perdagangan Malaysia menyusut pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.4 peratus tahun ke tahun pada Oktober, berbanding penurunan dua angka yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Ia berkata, eksport menurun 4.4 peratus dan import berkurang secara marginal sebanyak 0.2 peratus.

"Prestasi ini seiring dengan rakan dagang utama Malaysia lain seperti China, Taiwan dan Indonesia yang masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada Oktober 2023 serta pengurangan dalam import global," katanya.

Pada Oktober 2023, eksport barangan perkilangan yang mewakili 85.3 peratus atau RM107.59 bilion daripada jumlah eksport menurun 3.5 peratus tahun ke tahun berikutan penyusutan eksport bagi keluaran petroleum serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).

Walau bagaimanapun, eksport kelengkapan pengangkutan, barang makanan diproses, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, barangan kertas dan palpa serta barangan kayu mencatatkan pertumbuhan.

Eksport keluaran pertanian pula meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada RM8.9 bilion berbanding Oktober 2022, merekodkan pertumbuhan positif buat pertama kali selepas penurunan 12 bulan berturut-turut.

Sementara itu, eksport hasil galian berkurang 21.9 peratus tahun ke tahun kepada RM8.75 bilion, kesan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

Berbanding September 2023, eksport keluaran pertanian dan hasil galian masing- masing meningkat sebanyak 10.7 peratus dan 10.4 peratus, manakala eksport barangan perkilangan mencatatkan penurunan marginal.

Pada Oktober 2023, perdagangan dengan ASEAN meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun, merangkumi 26.9 peratus atau RM64.39 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport berkurang 5.7 peratus kepada RM36.57 bilion disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport barangan E&E dan keluaran petroleum.

Walau bagaimanapun, pengurangan ini telah diimbangi oleh kenaikan eksport kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Import dari ASEAN mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.4 peratus kepada RM27.82 bilion. - SUMBER

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow