IBU TUNGGAL RUGI RM170,000 ANGKARA CINTA KENALAN INSTAGRAM

Oleh : PAHANGKU
November 20, 2023 - 12:34 MYT
IBU TUNGGAL RUGI RM170,000 ANGKARA CINTA KENALAN INSTAGRAM
Gambar Hiasan

KUANTAN: Seorang ibu tunggal kerugian RM170,408 akibat terpedaya dengan sindiket Love Scam, selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Instagram.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, pada Oktober lalu, wanita berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadbir itu melayari laman sosial Instagram dan berkenalan dengan seorang lelaki bernama Fahad Ramzan.

Katanya, mangsa dan individu terbabit kemudiannya mula berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

"Lelaki terbabit dikatakan berjanji untuk berkahwin dengan mangsa yang membuatkan mangsa mempercayainya.

"Beberapa minggu kemudian, suspek meminjam wang mangsa berjumlah RM1,500 dengan alasan untuk membuat pembayaran bil hospital miliknya dan berjanji akan memulangkan semula wang pinjaman itu.

"Sejak itu, lelaki terbabit berterusan meminjam wang mangsa lagi dengan pelbagai alasan. Mangsa membuat sembilan transaksi bermula pada 24 Oktober hingga 14 November lalu dengan jumlah keseluruhan RM170,408.50.

"Siasatan mendapati wang itu adalah daripada simpanan mangsa sendiri serta pemberian keluarga. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak melayan individu tidak dikenali dan tidak mudah mempercayai kenalan di media sosial.

"Selain itu, orang ramai dinasihati untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan portal semak mule sebelum membuat pemindahan wang ke akaun yang tidak dikenali," katanya. - SUMBER

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow