Projek Solar Terapung Empangan Chereh Bakal Jadi Terbesar Di Asia Tenggara
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Solar Fotovolta Terapung (Floating Solar PV) Empangan Chereh di Mangala Estate Boutique Resort, Gambang, semalam.
Projek bernilai kira-kira RM850 juta itu dijangka menjadi loji tenaga solar terapung terbesar di Asia Tenggara, dengan kapasiti penjanaan sebanyak 200 megawatt (MW) melibatkan kawasan permukaan empangan seluas kira-kira 607 hektar.
Paduka Baginda menzahirkan harapan agar projek berkenaan memberi manfaat besar kepada Pahang, khususnya dalam memperkukuh pembangunan tenaga boleh baharu, merancakkan ekonomi negeri serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Baginda turut berharap projek itu dapat disiapkan mengikut jadual bagi membolehkan kira-kira 100,000 buah rumah menikmati bekalan tenaga elektrik bersih setiap tahun.
“Projek ini membawa makna yang besar kepada Pahang kerana ia merupakan satu permulaan dalam pembangunan tenaga boleh baharu dan antara projek terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.
“Saya berharap projek ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan seperti yang dinyatakan dan dapat disiapkan secepat mungkin supaya kira-kira 100,000 buah rumah dapat menikmati manfaatnya,” titah Paduka Baginda.
Mengulas usaha menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri berteraskan ekonomi hijau, Paduka Baginda bertitah bahawa aspirasi tersebut memerlukan perancangan rapi, komitmen berterusan dan pelaksanaan secara berperingkat.
Projek berkenaan dijadualkan memulakan kerja-kerja awal pada awal 2027 dan dijangka menyediakan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan, sekali gus membuka ruang kepada penyertaan kontraktor, pembekal dan tenaga kerja tempatan.
Selain menyokong agenda peralihan tenaga negara, penggunaan permukaan Empangan Chereh untuk penjanaan solar turut mengoptimumkan sumber sedia ada tanpa menjejaskan fungsi utama empangan sebagai sumber bekalan air.
Pelaksanaannya akan turut mengambil kira aspek keselamatan, pemeliharaan sumber air dan kelestarian alam sekitar melalui kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria serta Ketua Pegawai Eksekutif MASDAR, Mohamed Jameel Al Ramahi.
Projek berimpak tinggi ini dijangka menjadi satu lagi pemangkin kepada pembangunan ekonomi hijau Pahang, di samping meletakkan negeri ini sebagai antara peneraju pembangunan tenaga boleh baharu di rantau Asia Tenggara.
Apa Reaksi Anda?











