JBPM Pahang Gandakan Kesiapsiagaan Hadapi Banjir, 763 Lokasi Hotspot Dipantau

Oleh : BARD
Oktober 30, 2026 - 09:00 MYT
JBPM Pahang Gandakan Kesiapsiagaan Hadapi Banjir, 763 Lokasi Hotspot Dipantau

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dengan menggerakkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta anggota bomba komuniti bagi menghadapi kemungkinan banjir bermula 27 Oktober hingga Mac tahun hadapan.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, kekuatan operasi negeri disokong oleh 29 PBS yang mempunyai 632 anggota aktif serta 3,096 anggota bomba komuniti.

Selain itu, seramai 1,142 pegawai dan anggota daripada 29 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) turut diarahkan berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk kejadian banjir kilat.

Bagi menyokong operasi menyelamat, JBPM Pahang menyediakan 55 bot pelbagai jenis, 13 lori, 38 kenderaan utiliti dan 12 ambulans.

Menurut beliau, jabatan itu juga menubuhkan dua Pasukan Gerak Cepat (PGC) di BBP Indera Mahkota dan BBP Bukit Angin, Temerloh bagi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan dengan pantas apabila berlaku bencana.

Dalam masa sama, sebanyak 763 lokasi hotspot banjir di seluruh Pahang dikenal pasti berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk pemantauan berterusan.

Rondaan turut dilaksanakan sekiranya hujan lebat berterusan selama lima hingga enam jam, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Kesiapsiagaan itu turut diperkukuh menerusi Program Kesiapsiagaan Menghadapi MTL 2026/2027 yang berlangsung di Jeti Shahbandar, Kuantan, melibatkan pengujian serta pemeriksaan aset marin dan peralatan operasi menyelamat.

Program berkenaan disertai 45 pegawai dan anggota dari lima BBP iaitu Kuantan, Gebeng, Taman Tas, Indera Mahkota dan Sungai Lembing.

PBS juga diminta menyertai pemeriksaan serta ujian aset dan peralatan banjir secara serentak di seluruh negara pada 31 Oktober ini bagi memastikan semua kelengkapan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

Bagi memastikan kekuatan operasi sentiasa mencukupi, JBPM Pahang turut menetapkan kawalan cuti anggota dengan memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus kekuatan berada di balai atau kawasan berhampiran untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Langkah kesiapsiagaan menyeluruh ini bertujuan memastikan JBPM Pahang mampu bertindak pantas, menyelaras operasi dengan berkesan serta memberikan bantuan segera kepada penduduk sekiranya bencana banjir melanda negeri ini.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow