332 Pengerusi dan Setiausaha JPKK Empat Daerah Terima Bantuan IM Pahang
Seramai 332 Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari daerah Lipis, Raub, Bentong dan Cameron Highlands menerima bantuan menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Umum bagi menghargai peranan mereka dalam pembangunan komuniti setempat.
Majlis penyerahan bantuan itu berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis, semalam, dan disempurnakan dengan kehadiran YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Daripada jumlah penerima, 166 Pengerusi JPKK masing-masing menerima RM400, manakala 166 Setiausaha JPKK menerima RM200 seorang, menjadikan keseluruhan peruntukan bantuan bagi majlis tersebut sebanyak RM99,600.
Menurut Menteri Besar, inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat, selain mengiktiraf sumbangan pemimpin masyarakat yang menjadi penghubung antara kerajaan dengan penduduk di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, aspek kebajikan terus diberikan perhatian dalam pelaksanaan pelbagai program negeri bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir.
Katanya, kemampuan kerajaan negeri menyalurkan bantuan turut disokong oleh kedudukan kewangan yang semakin kukuh hasil pengurusan kewangan yang baik.
“Insya-Allah, kita akan terus meningkatkan pendapatan dan hasil negeri supaya kerajaan mempunyai keupayaan lebih besar untuk menyumbang kembali kepada rakyat,” katanya.
Turut hadir ialah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen, ketua-ketua jabatan serta pemimpin setempat.
Sebelum ini, penyerahan bantuan IM Pahang turut diadakan di Pekan pada 26 September lalu, melibatkan daerah Kuantan, Rompin dan Pekan, serta di Temerloh pada 29 September lalu, melibatkan daerah Temerloh, Maran, Bera dan Jerantut.
Pelaksanaan secara berperingkat ini membolehkan bantuan disampaikan kepada penerima di seluruh daerah terlibat, sekali gus memperkukuh peranan JPKK dalam menyampaikan maklumat, menyelaras keperluan penduduk dan menjadi penghubung antara Kerajaan Negeri dengan masyarakat setempat.
Apa Reaksi Anda?











