Malaysia di tangga ke-23 Penarafan Daya Saing Dunia
Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak 11 anak tangga dalam laporan Penarafan Daya Saing Dunia atau World Competitiveness Ranking (WCR) 2025, sekali gus berada di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi berbanding tempat ke-34 tahun lalu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, kedudukan tahun ini merupakan pencapaian terbaik negara sejak 2020, mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang berterusan serta mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033.
“Ia adalah seperti yang disasarkan oleh Kerangka Ekonomi Madani.
“Peningkatan daya saing negara sebanyak 11 anak tangga di kedudukan ke-23 berbanding tempat ke-34 tahun lepas mencerminkan bahawa faktor birokrasi saling berkait dengan antara lainnya, pelaburan dan pembangunan industri, kedua-duanya penting bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih.
“Pendekatan Kerajaan Madani untuk meningkatkan daya saing berdasarkan prinsip whole-of-government juga membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memacu penambahbaikan dan pembaharuan struktur di Malaysia secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tahun lalu, media melaporkan Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam WCR 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.
Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun lalu, demikian menurut Laporan WCR yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD).
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kedudukan keseluruhan dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan.
“Faktor prestasi ekonomi meningkat empat anak tangga ke kedudukan keempat terbaik berbanding tempat kelapan tahun lepas. Kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan kedua-duanya meningkat lapan anak tangga.
“Subfaktor perdagangan antarabangsa melonjak 11 anak tangga ke tempat keenam berbanding kedudukan ke-17 tahun lepas, berikutan pertumbuhan rancak eksport barang dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran serta peningkatan terimaan pelancongan, sekali gus memantapkan lebihan dagangan negara,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, MITI melalui Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berusaha menyelaras hala tuju strategik merentas pelbagai kementerian sekali gus memperkukuh ekosistem agenda daya saing negara.
Mengulas lanjut katanya, di peringkat operasi pula, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memastikan pelaksanaan berkesan dalam peningkatan daya saing, termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), selari dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
“Jadi dengan itu, kami yakin bahawa dengan tadbir urus kukuh, komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta kerjasama erat dengan industri, Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk menempatkan diri dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing dunia sebelum 2033,” kata beliau.
Apa Reaksi Anda?











