MUIP TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN BERJUMLAH RM8.4 JUTA

Oleh : PAHANGKU
Oktober 23, 2023 - 13:42 MYT
MUIP TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN BERJUMLAH RM8.4 JUTA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan berangkat ke Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Grand DarulMakmur Hotel, Kuantan.

KUANTAN, 23 OKTOBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat yang berlangsung di Astana Ballroom, Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.

Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan bercemar duli menerima bayaran Zakat Perniagaan daripada tiga badan korporat berjumlah RM8.4 juta.

Pembayaran zakat perniagaan diterima daripada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK) berjumlah RM4 juta yang telah diserahkan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PSK, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.

Diikuti Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) dengan sumbangan zakat sebanyak RM2.42 juta yang diserahkan oleh Pengerusi KOSMA, YH. Dato’ Haji Zamri Haji Mohamed.

Manakala Mr Bentong World Trading yang diwakili pengasasnya, Encik Hafiz Oon Jun Seong telah menyerahkan zakat berjumlah RM2 juta.

Turut berangkat ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda sebelum itu berkenan menghadiri Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Kali Ke-190 di dewan sama.

Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.

Menurut Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, YH. Dato’ Haji Halidan Md Daud, sehingga kini kutipan zakat meningkat sebanyak 3.9 peratus dengan RM131.9 juta berbanding RM126.9 juta pada tahun lalu.

Sumbangan zakat tertinggi diperoleh daripada sektor potongan gaji dengan RM54.9 juta, zakat perniagaan menyumbang sebanyak RM41.3 juta dan zakat simpanan sebanyak RM17.5 juta.

Dalam pada itu, PKZ turut mengingatkan umat Islam agar segera menunaikan bayaran zakat melalui pelbagai kaedah yang disediakan sama ada mengunjungi kaunter PKZ selain menggunakan kaedah atas talian (online) melalui Perbankan Internet, FPX, Aplikasi PahangGo, Razor Pay, Shopee, SnapNPay atau portal MyEg. – PAHANGMEDIA

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow