Disebalik Penutupan Tanah Aina Resort
Naik turun dalam perniagaan adalah suatu perkara yang subjektif, kadangkala dipengaruhi oleh usaha dan strategi, namun tidak dapat lari daripada takdir dan ketentuan rezeki. Seperti laut yang ada pasang dan surutnya, dunia perniagaan juga mengalami fasa-fasa perubahan yang tidak menentu. Ada waktu di mana ia berkembang pesat, dan ada ketika diuji dengan cabaran yang menguji ketahanan. Namun, kejayaan sebenar bukan hanya diukur pada keuntungan, tetapi pada keupayaan untuk bertahan, beradaptasi, dan bangkit setiap kali diuji.
Pemilik Tanah Aina Fareena ialah Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, siapa tak kenal yang rambut perang-perang tu. Seorang aktivis alam sekitar yang juga merupakan pengasas Tanah Aina, jenama terkenal yang mengendalikan beberapa eco-resort di Malaysia. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dan dikenali kerana usaha gigihnya dalam pemuliharaan alam sekitar serta mempromosikan gaya hidup mesra alam. Namun, baru-baru ini, Tanah Aina Fareena Café dikhabarkan telah ditutup sepenuhnya pada 1 Mac 2025. Difahamkan, restoran ini menghadapi tekanan dan didakwa terpaksa menghentikan operasinya atas arahan pihak berkuasa negeri Pahang.
Seperti yang diketahui, Puan Sri Shariffa Sabrina merupakan seorang aktivis yang aktif dalam memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar. Pada tahun 2021, banjir besar telah melanda Bentong, dan beliau mendakwa bahawa kerajaan Pahang terlibat dalam aktiviti pembalakan haram. Namun, dakwaan tersebut tidak dapat dibuktikan secara rasmi. Oleh kerana beliau sering mengkritik dan mempertikaikan pentadbiran negeri Pahang, pihak kerajaan mengambil tindakan dengan menjalankan siasatan terhadap Tanah Aina. Hasilnya, didapati terdapat beberapa pelanggaran yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan. Betul, kan? Dekat mana-mana pun, kalau nak berniaga memang kena ikut undang-undang. Hidup pun ada aturannya, inikan pula perniagaan. Kalau semua ikut peraturan, barulah semuanya berjalan lancar dan tak timbul masalah di kemudian hari. Situasi seperti ini sudah pasti mencetuskan polemik dan menimbulkan pelbagai pandangan negatif, sedangkan hakikatnya perkara itu mungkin tidak seperti yang disangka.
Namun, tanpa kita sedari, adakah Puan Sri Shariffa Sabrina telah menukar status tanah kebunnya kepada tanah resort? Adakah beliau telah mendapatkan kelulusan dan merancang pembinaan struktur di atas tanah tersebut melalui Pejabat Tanah Daerah Bentong? Ini kerana, walaupun tanah tersebut adalah milik persendirian, sebarang pembangunan tetap memerlukan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa. Selain itu, apakah jaminan bahawa dalam proses pembinaan resort ini, tiada pokok yang ditebang dan tiada kesan negatif terhadap alam sekitar? Walaupun beliau memiliki hak ke atas tanah tersebut, hak terhadap sungai tetap tertakluk kepada undang-undang, kerana sungai bukanlah milik individu, tetapi aset semula jadi yang perlu dipelihara. Malahan, tempat letak kereta yang dibina terletak di atas tanah kerajaan, menjadikannya satu kesalahan yang tidak boleh diabaikan. Ironinya, walaupun menjalankan perniagaan di Pahang, beliau tetap lantang mengkritik serta mencari kesalahan pentadbiran negeri.
Hal ini menjadi perhatian apabila beliau, yang juga pengasas Rangkaian Tanah Aina Resort dan Restoran, didakwa atas beberapa kesalahan berkaitan pencerobohan tanah kerajaan. Dakwaan tersebut melibatkan tiga lokasi berbeza yang dipercayai diduduki tanpa kebenaran yang sah. Pertama, tertuduh yang juga pengasas Rangkaian Tanah Aina Resort dan Restoran didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 26148, GM4135, Mukim Bentong, iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong pada jam 2 petang, 11 Jun tahun lalu. Kedua, dia didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 1053, PM0053, Mukim Ulu Dong, iaitu kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Raub pada jam 2 petang, 10 Jun tahun lalu. Ketiga pula, dia didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 10061, GM1572, Mukim Tras, iaitu kawasan yang ketika ini diduduki Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort, Raub. Tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah ini melanggar Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965.
Isu ini semakin hangat apabila Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Tuan Syed Hassan Ali, mewakili sebuah organisasi yang memperjuangkan hak-hak Bumiputera, membawa perkara ini ke arena politik. Beliau mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Pahang yang didakwa menekan Tanah Aina, serta mempersoalkan mengapa pelbagai saman dikeluarkan terhadap seorang usahawan Melayu yang baru ingin membina perniagaannya. Beliau turut mengkritik bahawa tindakan tersebut seolah-olah menunjukkan kerajaan negeri tidak senang melihat usahawan Melayu berjaya, malah menuduh bahawa kerajaan mahu masyarakat Melayu kekal miskin. Beliau turut mendedahkan bahawa baru-baru ini terdapat pihak yang membuat laporan kepada pihak Imigresen, mengakibatkan semua pekerja asing yang berkhidmat di Tanah Aina Fareena Café dibawa pergi oleh pihak berkuasa.
Syed Hassan Syed Ali
Hal ini menimbulkan persoalan, adakah kerana satu individu Melayu menghadapi kesukaran dalam perniagaan, maka kejayaan puluhan ribu usahawan Melayu lain di Pahang turut dipertikaikan? Sudah tentu tidak, kerana setiap tindakan yang diambil adalah berdasarkan pelanggaran peraturan yang telah dilakukan. Isu ini bukan soal bangsa, tetapi lebih kepada pematuhan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh setiap pemilik perniagaan tanpa mengira latar belakang mereka. Beliau turut menyebut mengenai kehadiran pihak imigresen. Adakah dengan membina resort, pihak pengurusan mempunyai kekebalan untuk mengambil pekerja asing tanpa permit?
Sebagai orang Melayu, kita berpegang kepada pepatah ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Tempat kita mencari rezeki seharusnya dijaga dengan baik, bukan diburuk-burukkan. Oleh itu, tuduhan yang dilemparkan sehingga menjejaskan imej kerajaan negeri Pahang adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan dengan adil. Bayangkan jika kita berada dalam situasi yang sama, dipersalahkan dan ditekan tanpa sebab yang jelas, sudah tentu kita juga akan merasa teraniaya. Selama ini, beliau sering mencari kesalahan kerajaan, maka apabila keadaan berubah dan beliau sendiri berdepan tekanan, apakah perasaannya sekarang?
Nukilan
Nadia Rose
Apa Reaksi Anda?











