Hasrat penduduk Gaza tunai haji terkubur
Di sebuah khemah sementara di selatan Genting Gaza, Najia Abu Lehia, 64, masih memendam hajat untuk menunaikan haji bersama arwah suaminya yang tidak kesampaian.
Najia antara penduduk Palestin yang tidak dapat menunaikan Rukun Islam kelima dek perang ganas yang masih berlarutan di wilayah itu.
Sebelum konflik antara Israel dan Hamas meletus pada 2023, kira-kira 3,000 penduduk Gaza berpeluang mengerjakan ibadah itu pada setiap tahun.
Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober 2025 bagi menghentikan pertempuran besar-besaran pada mulanya memberi harapan baharu buat penduduk Palestin, namun sekatan pergerakan masih berterusan.
"Saya sudah mendaftar dan nama sudah terpilih. Perang kemudiannya tercetus dan menjadi penghalang hingga kini. Saya bimbang jika ajal menjemput terlebih dahulu sebelum sempat menjadi tetamu ALLAH. Saya masih mengharap perkara yang tidak pasti dengan penuh keyakinan," ujar Najia dalam nada hiba.
Di bawah tempoh bertenang goyah yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu, Israel dikatakan menguatkuasakan pembukaan separa Lintasan Rafah ke Mesir yang menjadi pintu utama Gaza ke dunia luar.
"Lintasan sempadan sebenarnya kekal ditutup. Kenapa sekatan ini dikenakan terhadap bakal jemaah haji? Mereka hanya mahu menjejakkan kaki ke Makkah dan bukan untuk melakukan perkara lain," menurut Najia lagi.
COGAT iaitu agensi tentera Israel yang mengawasi akses ke Gaza memberi alasan akses di Lintasan Rafah hanya diberikan kepada kes kemanusiaan dengan senarai pengembara ditentukan oleh pihak berkuasa Mesir dan diluluskan oleh perkhidmatan keselamatan Tel Aviv.
Sejak Februari lalu, hanya 5,304 penduduk dibenarkan masuk dan keluar dari Gaza, jumlah yang amat kecil daripada satu pertiga daripada jumlah yang ditetapkan.
Tiada ibadah korban
Kira-kira 2.1 juta penduduk Gaza bakal menyambut Aidiladha pada Rabu ini tanpa haiwan korban untuk tahun ketiga berturut-turut disebabkan sekatan ketat rejim Zionis.
Kementerian Pertanian mendakwa kempen pengeboman bertalu-talu Israel sejak lebih dua tahun lalu telah menyebabkan kemusnahan sistematik sektor pertanian.
Sebelum perang berlaku, Gaza mengimport kira-kira 10,000 hingga 20,000 anak lembu dan 30,000 hingga 40,000 kambing biri-biri pada setiap kali ketibaan Aidiladha.
COGAT yang cuba menafikan sekatan ketat rejim Zionis mendakwa pihaknya telah menguruskan import daging, ayam, telur dan produk tenusu dengan hampir 8,000 tan penghantaran sejak beberapa bulan lalu.
Ia turut menyatakan dengan yakin bahawa kira-kira 600 trak bantuan yang membawa pelbagai bekalan penting termasuk makanan kononnya memasuki Gaza pada setiap hari sedangkan penduduk Gaza masih berdepan krisis bekalan makanan yang serius.
Menurut Hamas, penghantaran bantuan merosot kepada kira-kira satu perempat daripada jumlah yang dipersetujui setakat Mei.
Sehingga kini, Israel masih tidak mengendahkan gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut akses tanpa halangan bagi memastikan bantuan dan barangan keperluan penting dapat disalurkan kepada penduduk Gaza.
Apa Reaksi Anda?











