Tingkat strategi majukan sektor pertanian jamin bekalan makanan

SEPERTI yang diketahui umum, pertanian di Malaysia menyumbang 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan 16 peratus penduduk Malaysia terbabit dalam bidang itu. Angka ini menjelaskan kemerosotan bidang pertanian dan ia menjadi semakin tidak penting di negara ini berbanding dahulu.
Hal ini berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya ketidaktentuan cuaca, kekurangan tenaga kerja muda, selain keutamaan negara kepada industri perindustrian yang menyebabkan banyak tanah pertanian berubah status dan dibangunkan.
Membangunkan negara sebagai lubuk perindustrian memang memberi impak positif terhadap kemajuan negara. Misalnya kita melihat wujud banyaknya peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan, selain membantu meningkatkan pendapatan negara, memajukan ekonomi serta turut menyumbang kepada imej dan prestij Malaysia, sekali gus mendorong kepada kedatangan pelancong.
Bagaimanapun baru-baru ini berlaku krisis beras di Malaysia, sesuatu yang tidak pernah kita jangkakan. Selama ini kita berbangga dengan gelaran 'Jelapang Padi' dengan kemampuan menghasilkan beras jenama tempatan.
Namun dalam masa sama kita turut bergantung kepada beras import. Namun, apabila berlaku isu kekurangan beras tempatan disebabkan faktor permintaan meningkat, kita terkapai-kapai dalam mencari penyelesaian.
Hal ini seakan mengejutkan kita bagaimana sebagai sebuah negara yang mampu menghasilkan beras sendiri tetapi berhadapan dengan kesukaran mendapatkan beras tempatan? Ia sebenarnya tamparan hebat kepada kita kerana sektor pertanian tidak sepatutnya diabaikan, malah perlu lebih dimajukan meskipun dalam ghairah rasa hendak mengejar status sebagai negara industri.
Apatah lagi dalam keadaan semasa yang memperlihatkan kadar pengangguran meningkat dalam kalangan anak muda dan graduan. Jadi dengan meningkatkan industri pertanian, kita boleh menawarkan peluang pekerjaan. Apatah lagi sektor itu dapat menjamin keselamatan bekalan makanan.
Hal ini dikatakan sedemikian kerana negara masih belum mencapai keadaan mampu diri dalam keluaran makanan dan dibuktikan melalui nilai import yang masih tinggi sehingga mencapai RM10 bilion setahun. Jadi, pengeluaran makanan perlu diberi perhatian supaya tidak bergantung kepada import semata-mata terutamanya untuk bahan utama seperti beras, ternakan, tenusu, sayuran dan buahan.
Tingkat kesedaran kepentingan pertanian
Krisis beras memang menyedarkan kita mengenai pentingnya memajukan sektor pertanian. Ketika ini selain di Kedah, Perlis dan Perak, Selangor juga mempunyai sawah padi yang boleh dimajukan. Malah langkah kerajaan Terengganu dalam mengatasi isu ini juga patut dicontohi iaitu mereka mengeluarkan jenama beras sendiri pada saat tepat melalui pembelian beras daripada beberapa kilang padi untuk proses pembungkusan sebelum dibekalkan kepada pengedar tunggal untuk dipasarkan.
Selain Terengganu, tindakan negeri Melaka juga patut dicontohi apabila menubuhkan jawatankuasa khas dalam menangani isu kekurangan beras tempatan dengan memanggil pihak berkaitan untuk sama-sama mencari penyelesaian seperti memantau pengeluaran beras serta kegiatan menyorok bekalan beras dan juga bakal mewujudkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP).
Langkah lain yang diambil termasuklah menggubal dan merungkai semula dasar sedia ada iaitu kaedah penyaluran subsidi berasaskan keluasan tanah tanaman padi (berasaskan input) perlulah ditukar kepada berasakan output supaya dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran padi.
Secara keseluruhannya, kerajaan perlulah mengambil langkah menyeluruh, bersepadu dan segera untuk memastikan keselamatan makanan terutama beras negara tidak lagi bergantung kepada bekalan import semata-mata. Jadi, sektor pertanian perlulah lebih diberi perhatian dengan lebih terperinci untuk dimajukan kerana sektor ini adalah penyelamat terutama ketika negara sedang mengalami krisis ekonomi dan untuk memastikan keterjaminan makanan pada masa hadapan.
Siti Nur Zulaikha Mohd Zawawi, Universiti Malaysia Terengganu
Apa Reaksi Anda?






