Flotila dedah wajah sebenar Zionis

Oleh : BARD
Mei 25, 2026 - 10:00 MYT
Flotila dedah wajah sebenar Zionis

Dunia sekali lagi menyaksikan wajah sebenar kekejaman rejim Zionis Israel.

Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa suara kemanusiaan untuk rakyat Gaza bukan sahaja dihalang di perairan antarabangsa, malah aktivis didakwa menjadi mangsa penderaan fizikal dan gangguan seksual yang cukup menjijikkan.

Dakwaan tersebut bukan cerita kecil. Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric sendiri menegaskan bahawa pihaknya memandang serius kira-kira 15 kes serangan seksual yang direkodkan penganjur misi berkenaan.

Aktivis dilaporkan dipukul, dicampak ke dalam kontena, dipaksa berbogel dan dihina tanpa perikemanusiaan.

Pendedahan itu sekali gus membuktikan bahawa rejim Zionis bukan sahaja menindas rakyat Palestin, malah sanggup bertindak kejam terhadap aktivis antarabangsa yang datang atas nama kemanusiaan.

Dalam masa sama, angka korban di Semenanjung Gaza terus meningkat kepada 72,783 orang sejak Oktober 2023, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Lebih 172,779 lagi cedera, manakala ramai masih tertimbus di bawah runtuhan. Statistik itu sendiri sudah cukup menggambarkan betapa dahsyatnya jenayah perang yang sedang berlaku di bumi Palestin.

Walaupun flotila kemanusiaan tersebut gagal tiba di Gaza, misi itu sebenarnya berjaya membuka mata dunia terhadap sekatan haram dan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel.

Namun, kegagalan flotila menembusi Gaza juga memberi satu pengajaran besar kepada masyarakat antarabangsa. Semangat solidariti semata-mata tidak lagi mencukupi apabila berdepan rejim yang langsung tidak menghormati undang-undang antarabangsa.

Mungkin sudah tiba masanya strategi baharu difikirkan untuk memastikan bantuan kemanusiaan benar-benar dapat memasuki Gaza.

Pendekatan diplomatik lebih agresif, tekanan ekonomi antarabangsa, laluan bantuan melalui negara jiran atau penglibatan lebih tegas badan dunia perlu dipertimbangkan segera.

Dunia tidak boleh sekadar mengutuk tanpa tindakan berkesan. Jika misi kemanusiaan pun diperlakukan seperti penjenayah, maka jelas rejim Zionis semakin berani kerana merasakan mereka kebal daripada hukuman.

Gaza tidak perlukan simpati semata-mata. Gaza perlukan tindakan dunia yang lebih berani dan luar biasa.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow