“PAS: 30 Tahun Berkuasa Di Kelantan, Tapi Masih Salahkan Orang Lain”
Ketua Pemuda PAS Pahang Aireroshairi Roslan mengambil jalan mudah susulan kegagalan kerajaan negeri Kelantan menyediakan bekalan air bersih apabila menyalahkan menteri kewangan ketika itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana membatalkan projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) tahun 1990.
Sampai bila nak menyalahkan pihak lain dan menggunakan alasan lapuk ini? Sudah 30 tahun PAS mentadbir negeri Kelantan, apakah tiada tindakan atau perancangan yang rapi daripada kerajaan negeri bagi menyelesaikan bekalan air di Kelantan ini?
Inilah wajah sebenar PAS, mereka mencari jalan mudah dengan menunding pihak lain atas kegagalan mereka sendiri.
Sepanjang 30 tahun itu, PAS tidak pula mencerita peruntukan yang diterima oleh mereka pada zaman Perdana Menteri Ke-5 Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Ke-6 Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.
Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Kelantan mendapat layanan yang lebih saksama, termasuklah sektor perkhidmatan bekalan air. Pinjaman RM600 juta yang dijanjikan kepada Negeri Kelantan mula disalurkan.
Negeri Kelantan adalah antara pihak yang awal menyahut dasar penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah. Setelah rundingan untuk penstrukturan ini bermula 2008, akhirnya telah dimuktamadkan pada tahun 2016 pada Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Kelantan telah mula diberi peruntukan untuk membangunkan Industri Perkhidmatan Bekalan Air. Antara peruntukan yang diberikan ialah untuk membangunkan Loji Rawatan Air (LRA) dan mengganti semula paip usang. Peruntukan itu disalurkan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB). Bagaimanapun, kos keseluruhan untuk memulihkan industri perkhidmatan bekalan air Kelantan sudah meningkat melebihi RM2
bilion.
Zaman Tun Abdullah, Kelantan dapat pinjaman RM600 juta. Zaman DS Najib, hutang air RM678 juta dihapus kira. Loji dibina. Paip diganti. Peruntukan disalur.
Soalannya: di mana hasilnya? Mana airnya? Ke mana duitnya?
Aireroshairi Roslan juga berbohong kononnya Kelantan telah dianak tirikan kerajaan BN. Kononnya peruntukan untuk Kelantan diberi dalam bentuk pinjaman dengan faedah tidak seperti Pahang, Pulau Pinang dan Johor yang diberi geran.
Kelantan meterai perjanjian Migrasi Air pada 14 September 2016, hasil perundingan Migrasi Air Kelantan pada 2016 Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menghapuskira hutang bekalan air berjumlah RM 678.12 JUTA. yang telah dibelanjakan sepanjang tahun 2000 hingga 2016 (bukankah itu sudah menjadi geran?).
Pahang pernah menjadi negeri pembangkang selepas 2018, hampir 22 bulan Pahang yang dipimpin oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail tidak pernah mengeluh dan menyalahkan pusat. Pada ketika itu, hasil Pahang sekitar RM600 juta lebih dan hanya cukup untuk membayar gaji kakitangan awam negeri.
22 bulan, Pahang merangka strategi yang ampuh mencari hasil bagi menambah pendapatan negeri. Pelbagai usaha dirangka bersama agensi negeri dan anak syarikat kerajaan negeri. Dan hasilnya, selepas 2019 Pahang menunjukkan peningkatan hasil negeri yang cukup memberansangkan. Pahang telah mencipta rekod dengan mengutip hasil negeri lebih RM1 bilion tiga tahun berturut-turut.
Inilah beza pemimpin yang berfikir dan pemimpin yang menyalahkan.
Yang seorang memimpin ke hadapan. Yang satu lagi, masih terkial-kial dalam masa silam.
Rakyat Kelantan layak mendapat lebih baik. Bukan air keruh. Bukan pemimpin yang keruh. Dan bukan alasan yang kian membusuk.
Apa Reaksi Anda?











