Cameron Highlands bakal ada hub borong, atasi isu harga sayur

Oleh : BARD
April 2, 2026 - 10:00 MYT
Cameron Highlands bakal ada hub borong, atasi isu harga sayur

Kerajaan Pahang akan melaksanakan penubuhan hub borong sayur-sayuran di Cameron Highlands bagi mengurangkan kebergantungan pekebun kepada pemborong luar yang didakwa mengawal harga pasaran.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, langkah itu penting bagi memastikan pekebun di kawasan itu mempunyai saluran pemasaran sendiri tanpa dipengaruhi pihak tertentu.

"Setakat ini saya telah mengarahkan pegawai daerah Cameron Highlands mengkaji tempat yang sesuai bagi membangunkan hub tersebut," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Sebelum itu, beliau memberitahu, harga sayur ketika ini banyak ditentukan pemborong di Selayang sehingga pekebun tidak mempunyai kuasa menetapkan harga dan hasil pulangan tidak berbaloi dengan usaha mereka.

"Ada beberapa pekebun yang memberitahu saya mengenai harga bagi sesetengah sayur hanya mencecah 20 sen bagi sekilogram.

"Sebelum ini, para pekebun boleh mendapatkan keuntungan lebih RM1 bagi 15 jenis sayur, kini hanya tinggal dua jenis sayur sahaja yang mendapat harga itu," jelasnya.Tambah beliau, sistem sedia ada menyebabkan pekebun terpaksa menerima harga yang ditentukan pemborong tanpa rundingan.

Katanya, perbezaan harga di peringkat ladang dan pengguna juga dilihat tidak seimbang sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pihak yang mengambil keuntungan dalam rantaian bekalan.

"Sebagai contoh, tomato dijual kepada pemborong sekitar RM5 sekilogram, namun harga runcit mencecah RM6.50 sekilogram.

Selain isu harga, beliau turut menyentuh masalah kesesakan trafik di kawasan tertentu di Cameron Highlands yang menyebabkan kelewatan sehingga beberapa jam.

Menurutnya, antara punca kesesakan ialah pergerakan pejalan kaki yang tidak terkawal, sekali gus menjejaskan aliran trafik.

“Bila ada yang melintas, satu kenderaan berhenti dan menyebabkan kenderaan lain turut terhenti, sekali gus menyebabkan kesesakan berpanjangan,” katanya.

Sehubungan itu, Chong Siang berkata, pihaknya mencadangkan penempatan petugas khas bagi mengawal pergerakan pejalan kaki dan mengatur lintasan secara berkala bagi melancarkan aliran trafik dari jam 8 pagi hingga 7 malam.

"Pembinaan jejantas lengkap dengan kemudahan seperti eskalator turut dikemukakan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah kesesakan dan meningkatkan keselamatan pengguna," katanya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow