Pahang Peruntuk RM10 Juta Hadapi Monsun Timur Laut: Persiapan Awal Bukti Keprihatinan Kerajaan Negeri
Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, dengan langkah proaktif termasuk penghantaran awal barangan bantuan ke 167 pangkalan hadapan di seluruh negeri.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sebanyak RM3.3 juta daripada jumlah itu telah diagihkan bagi penghantaran pertama barangan bantuan makanan kering seberat kira-kira 230 tan, yang akan dilaksanakan dalam tempoh 17 hari.
“Penghantaran bantuan ini merupakan langkah tahunan yang diambil oleh kerajaan negeri kerana bencana banjir adalah fenomena yang kita hadapi setiap tahun. Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat baru-baru ini juga menjangkakan hujan lebat bakal melanda pada awal Januari tahun depan,” ujar beliau selepas merasmikan Program Flag-Off Misi Penghantaran Barang Keperluan Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Penghantaran bantuan tersebut akan bermula di daerah Rompin sebelum diteruskan ke 10 daerah lain di seluruh negeri. Inisiatif ini dijalankan bagi memastikan setiap pangkalan hadapan dilengkapi dengan stok bantuan mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Beliau berkata, semua barangan bantuan telah diperiksa dan berada dalam keadaan baik serta mempunyai jangka hayat simpanan yang panjang, bagi memastikan kualiti bantuan kekal terjamin ketika diagihkan kepada mangsa nanti.
Antara barangan keperluan yang dihantar ialah beras, minyak masak, gula, garam, kari ayam tin, sardin, Kopi, teh dan biskut
Bantuan ini bukan sekadar untuk keperluan asas mangsa banjir, tetapi juga bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan semasa tempoh pemindahan atau apabila jalan utama terputus hubungan.
Persediaan awal ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang dalam melaksanakan pengurusan bencana secara berfokus, terancang dan bersepadu. Langkah ini juga selaras dengan pendekatan “Pahang Prihatin” yang menekankan kecekapan tindak balas terhadap bencana serta kesejahteraan rakyat.
Sebagai rekod, Pahang antara negeri yang kerap terjejas akibat banjir besar setiap kali musim monsun, khususnya di daerah seperti Pekan, Rompin, Temerloh, Maran dan Jerantut. Oleh itu, kesiapsiagaan lebih awal menjadi faktor penting dalam mengurangkan risiko dan kesan terhadap rakyat.
Apa Reaksi Anda?











