Lepas atau sangkut?
Semua tumpuan kini terarah kepada keputusan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya sama ada akan lepas atau terus sangkut dalam isu besar yang mencalar imej bola sepak negara di pentas antarabangsa.
Rayuan tersebut yang difailkan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman berat kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) kini memasuki fasa penentu.
Kes ini berpunca daripada dakwaan pemalsuan dokumen dalam proses pendaftaran pemain warisan yang merupakan satu kesalahan serius dalam peraturan bola sepak dunia.
Dalam keputusan awal, tujuh pemain warisan terbabit iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca telah digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak manakala FAM pula dikenakan denda hampir RM1.8 juta.
FAM dalam kenyataannya menegaskan kesilapan itu berpunca daripada kelemahan teknikal semasa penyerahan dokumen dan bukanlah hasil penipuan disengajakan. Namun dalam konteks undang-undang FIFA, kesilapan teknikal bukan alasan yang mudah diterima.
FIFA mengambil pendirian tegas terhadap ketelusan dokumen pemain terutama melibatkan status kelayakan antarabangsa.
Sebarang pelanggaran dianggap mencabar integriti sistem pendaftaran dan boleh membawa implikasi besar kepada kredibiliti pasukan negara.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail baru-baru ini memberi bayangan bahawa peluang untuk FIFA membatalkan sepenuhnya hukuman terhadap FAM adalah tipis. Namun baginda tidak menolak kemungkinan hukuman itu akan diringankan.
Pandangan TMJ itu boleh dianggap satu isyarat bahawa rayuan FAM dijangka berdepan laluan sukar. Sekalipun tidak berpihak sepenuhnya, ada ruang kecil untuk pengurangan hukuman sekiranya FIFA menerima penjelasan teknikal yang dikemukakan.
Sekiranya keputusan asal dikekalkan, FAM berkemungkinan besar membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan yang menjadi langkah terakhir dalam usaha mencari keadilan di bawah kerangka perundangan sukan antarabangsa.
Jika FAM berjaya mengemukakan bukti kukuh, bukan sahaja hukuman berpotensi diringankan atau dibatalkan, malah maruah bola sepak Malaysia juga boleh dipulihkan daripada tuduhan pemalsuan dokumen.
Namun jika gagal, kesan reputasi jangka panjang terhadap FAM dan program pemain warisan mungkin sukar diperbaiki.
Apa pun keputusan yang bakal diumumkan FIFA, satu perkara pasti perjuangan FAM masih belum berakhir.
Jika pintu FIFA tertutup, pintu CAS pula akan menjadi gelanggang baharu untuk mencari keadilan dan menegakkan kebenaran.
Apa Reaksi Anda?











