UMNO Sentiasa Bersama Anak Muda, Penentu Masa Depan Negara

Oleh : BARD
Mei 26, 2026 - 11:00 MYT
UMNO Sentiasa Bersama Anak Muda, Penentu Masa Depan Negara

Ketua Puteri UMNO Negeri Melaka, Nurul Amirah Mohd Yusof menegaskan perjuangan UMNO tidak boleh hanya tertumpu kepada politik semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan nyata dalam membantu anak muda membina masa depan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Bengkel Teknik Menjawab MUET bersama pelajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin.

Menurut beliau, jika sesebuah parti benar-benar mahu dekat di hati generasi muda, maka kehadiran itu perlu dirasai menerusi perkara paling penting dalam kehidupan mereka khususnya pendidikan dan peluang dan hala tuju masa depan.

“Kalau nak dekat di hati orang muda, kita kena hadir dalam hal penting mereka terutama pendidikan, masa depan dan peluang.

“Saya percaya UMNO memang cukup dekat dengan perjuangan pendidikan. Dari dulu lagi, ramai anak kampung boleh sambung belajar, dapat peluang dan ubah kehidupan keluarga kerana dasar pendidikan yang diperjuangkan,” katanya.

Amirah yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, pengalaman melihat sendiri perubahan hidup masyarakat luar bandar melalui pendidikan menjadi antara faktor utama beliau terus aktif mendekati anak muda menerusi pelbagai program pembangunan ilmu dan akademik.

“Saya bukan datang sekadar untuk bergambar atau hadir program semata-mata. Saya mahu anak muda nampak bahawa masih ada yang serius mahu bantu mereka berjaya,” jelasnya.

Tambahnya, generasi muda hari ini semakin matang dan bijak menilai kepimpinan berdasarkan tindakan, bukannya sekadar slogan politik.

“Anak muda sekarang bijak menilai. Mereka tidak mahu hanya mendengar slogan. Mereka mahu lihat siapa yang benar-benar turun padang, dengar masalah mereka dan bantu buka peluang untuk masa depan,” katanya lagi.

Dalam masa sama beliau merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru-guru serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

“Usaha memperkasakan pendidikan perlu terus diperkukuhkan kerana anak muda bukan sekadar generasi hari ini, tetapi aset paling penting dalam menentukan masa depan negara,” ujarnya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow