Pahang Sumbang RM2,000 Kepada Setiap Pelajar Lanjutkan Pelajaran Di Universiti Al-Azhar Mesir
Apabila kerajaan negeri Pahang menyalurkan sumbangan RM120,000 kepada 60 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, ia sekali lagi membuktikan keprihatinan dan kesungguhan YAB Menteri Besar serta kepimpinan negeri dalam meletakkan pendidikan Islam sebagai agenda utama. Inilah bentuk kerajaan yang bekerja, bukan sekadar berslogan.
Setiap pelajar akan menerima RM2,000 kerajaan negeri Pahang melalui Yayasan Pahang. Daripada jumlah penerima tersebut 45 orang merupakan lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), 4 orang daripada Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan 11 orang pula berasal dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).
Menteri Besar dengan jelas mengingatkan bahawa kejayaan para pelajar ini bukan datang sekelip mata. Ia hasil pengorbanan ibu bapa, guru, dan sokongan kerajaan negeri. Bahkan beliau menzahirkan nasihat penuh makna, gunakan peluang ini sebaik-baiknya, kerana hidup hanya sekali. Kata-kata ini menggambarkan seorang pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
Namun apa yang menyedihkan, di saat kerajaan negeri bekerja keras membantu rakyat, pemimpin PAS dan PN di Pahang lebih gemar berpolitik murahan. Mereka sibuk menjaja fitnah, bermain sentimen, dan membangkitkan isu-isu remeh demi mencari populariti. Tetapi bila masuk bab kebajikan rakyat khususnya pendidikan anak-anak Pahang mereka hilang suara.
PAS boleh berceramah setiap malam, melaungkan kononnya merekalah pejuang Islam, tetapi hakikatnya kerajaan negeri pimpinan YAB Menteri Besar yang melaksanakan tanggungjawab menjaga pendidikan agama di Pahang. Mereka gagal membawa sebarang solusi, hanya pandai menanam kebencian rakyat dengan politik jumud.
Sementara anak-anak Pahang mengangkat nama negeri di bumi Al-Azhar, PAS dan PN Pahang hanya mengangkat mikrofon untuk berpolitik. Rakyat seharusnya sedar – di antara kerajaan negeri yang bekerja dan pembangkang yang hanya tahu bermain wayang politik, siapa yang benar-benar membela masa depan generasi Islam di Pahang.
Apa Reaksi Anda?











