Henti Politik Murahan, Jangan Putar Belit Isu UEC
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Aliff Hilmi menasihati semua pihak agar bertenang dan tidak memainkan politik murahan dengan memetik pelbagai nama serta mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian Malaysia yang aman damai ini.
Tegasnya, tuduhan cuba memutar belitkan naratif seolah-olah Barisan Nasional (BN) pernah mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) sepenuhnya adalah satu dakwaan yang tidak berasas dan bercanggah dengan rekod sejarah serta fakta dasar pendidikan negara.
“BN tidak pernah mengiktiraf UEC secara rasmi. Apa yang wujud hanyalah kesediaan bersyarat termasuk syarat wajib kredit Bahasa Melayu dan lulus Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini syarat minimum yang selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Namun syarat ini ditolak oleh Dong Zong dan hal tersebut membuktikan tawaran itu tidak pernah dimuktamadkan atau diterima. Tuduhan yang kononnya Pemuda UMNO menafikan usaha adalah naratif songsang yang direka untuk memanipulasi persepsi rakyat.
“Kamu pernah menjadi kerajaan sebanyak dua kali tetapi kamu juga gagal mengiktiraf UEC dan gagal itu bukan berpunca daripada UMNO,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Seterusnya kata Aliff lagi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera, dasar pendidikan negara memerlukan penyelarasan kurikulum, bahasa pengantar serta kandungan sejarah yang menepati kerangka nasional.
“Jika benar yakin UEC selaras dengan dasar negara, mengapa tidak berani melaksanakannya sewaktu memegang kuasa. UEC bukan isu teknikal semata-mata tetapi berkait rapat dengan tiga prinsip utama negara iaitu Kurikulum Standard Kebangsaan; Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996 dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kebangsaan.
“Ketiga-tiga asas ini langsung tidak dipenuhi oleh UEC. Perkara ini bukanlah tindakan ekstrem, sebaliknya suatu kewajipan untuk mempertahankan kerangka pendidikan negara yang menjadi tulang belakang perpaduan, kestabilan serta identiti nasional.
“Jika mahu bercakap tentang dasar, maka berhujahlah dengan fakta dan bukannya dengan sindiran murahan yang tidak mencerminkan kematangan politik. Perbandingan antara UEC dan A-Level adalah tidak berasas. A-Level merupakan kelayakan antarabangsa yang piawai dan tidak bercanggah dengan kurikulum kebangsaan,” katanya lagi.
Ujar Aliff, UEC pula datang daripada sistem pendidikan yang tidak selaras dengan sejarah, kenegaraan dan bahasa kebangsaan Malaysia. Ini bukan isu diskriminasi tetapi isu keselarasan dasar negara.
Tambah beliau lagi, sebarang perubahan dasar pendidikan mesti berpaksikan fakta dan bukan tekanan politik atau tuntutan kelompok tertentu.
“Bahasa Melayu, kurikulum kenegaraan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan bukan bahan tawar menawar. Kita bersedia berdialog secara matang tetapi tidak akan tunduk kepada usaha menutup fakta atau memanipulasi sejarah.
“Pemuda UMNO Malaysia tetap konsisten bahawa UEC hanya boleh dibincangkan dalam kerangka dasar kebangsaan dan bukan berdasarkan selera politik mana mana pihak.
“Jika benar mahu menjadi juara fakta serta reformasi, berhentilah menjual angan-angan dan beranilah bercakap benar,” tegasnya lagi.
Apa Reaksi Anda?











