‘Sebarang Tindakan Halang Tugas Media Tidak Wajar Berlaku’
Sebarang bentuk tindakan yang boleh menghalang tugas media ketika menjalankan tanggungjawab profesional adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku dalam mana-mana acara.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin menerusi satu kenyataan berkata, Kerajaan Negeri Johor sentiasa memandang tinggi peranan pengamal media dalam menyampaikan maklumat yang sahih.
“Saya memandang serius insiden kekecohan dan gangguan terhadap petugas media yang dilaporkan berlaku semasa liputan sebuah konvensyen parti politik di Johor Bahru pada Ahad lalu seperti dinyatakan dalam kenyataan rasmi Kelab Media Johor (KMJ).
“Kerajaan Negeri Johor sentiasa memandang tinggi peranan pengamal media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
“Justeru, sebarang bentuk tindakan yang boleh menghalang tugas media, menimbulkan ketegangan, mahupun menjejaskan keselamatan petugas ketika menjalankan tanggungjawab profesional adalah sesuatu tidak wajar berlaku dalam mana-mana program atau acara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata, budaya agresif bukanlah cerminan budaya Bangsa Johor yang sentiasa mengutamakan keharmonian.
“Johor sejak sekian lama dikenali sebagai negeri yang menitikberatkan nilai adab, santun, hormat-menghormati dan kematangan dalam berurusan dengan semua pihak tanpa mengira latar belakang.
“Budaya agresif, provokatif atau tindakan melampau bukanlah cerminan kepada budaya Bangsa Johor yang sentiasa mengutamakan keharmonian, kebijaksanaan dan kesopanan dalam setiap tindakan.
“Saya percaya semua pihak, termasuk penganjur program, pasukan keselamatan dan pengurusan acara, mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan suasana yang kondusif serta profesional dapat diwujudkan khususnya ketika melibatkan urusan media,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menghormati tindakan KMJ dalam menyalurkan perkara tersebut melalui saluran yang sewajarnya.
“Hubungan baik antara media dan penganjur perlu sentiasa dipelihara demi memastikan proses penyampaian maklumat kepada rakyat berjalan dengan lancar serta berintegriti.
“Pada masa sama, saya menghormati tindakan KMJ dalam menyalurkan perkara ini melalui saluran sewajarnya dan berharap agar semua pihak dapat memberikan kerjasama penuh untuk meredakan keadaan dan mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang pada masa hadapan.
“Semoga isu ini dapat dijadikan pengajaran bersama agar setiap program yang berlangsung di Negeri Johor sentiasa mencerminkan nilai profesionalisme, keselamatan, adab dan semangat muafakat yang menjadi kebanggaan Bangsa Johor,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











