Jaga Maruah Dewan: Speaker Tegur ADUN Sebar Kenyataan Mengelirukan
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, menegur keras tindakan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengeluarkan kenyataan di luar persidangan sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi dewan.
Beliau berkata, tindakan tidak berdisiplin itu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah memberi gambaran seolah-olah perjalanan persidangan tidak mengikut aturan atau berlaku ketidakadilan.
“Saya benar-benar terkejut apabila ada Ahli Yang Berhormat membuat hebahan luar yang menjejaskan imej Dewan. Tohmahan itu tidak berasas dan saya telah pun membuat penjelasan,” tegasnya ketika memulakan persidangan di Wisma Sri Pahang, semalam.
Dato' Sri Sharkar menjelaskan bahawa penetapan embargo ke atas dokumen pada hari terakhir persidangan adalah prosedur standard yang turut diamalkan oleh Parlimen dan beberapa Dewan Undangan Negeri lain.
Tujuannya jelas untuk mengelakkan dokumen dipetik secara pramatang dan disalah tafsir ketika perbahasan masih berlangsung.
Beliau mengingatkan ADUN mengenai peraturan yang telah termaktub:
“Menurut Perkara 19(4) Peraturan Mesyuarat Dewan Negeri, mana-mana Yang Berhormat yang membocorkan kertas mesyuarat sebelum tarikh embargo dianggap menghina majlis.”
Mengulas dakwaan yang mengatakan embargo menyekat ruang perbahasan, beliau menegaskan tuduhan itu tidak berasas. Semua laporan boleh dibahaskan sekiranya usul rasmi dikemukakan, selaras dengan Perkara 27(3) Peraturan Mesyuarat Dewan.
“Setiap perkara yang hendak dibahaskan mesti didahului dengan usul. Tanpa usul, tiadalah perbahasan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa ini adalah amalan biasa dalam sistem perundangan negara, termasuk ketika merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang hanya dibahaskan selepas usul dibentangkan.
Teguran Speaker ini menjadi peringatan tegas bahawa semua ADUN perlu menjaga integriti dewan, mengikut disiplin peraturan mesyuarat, dan tidak mempolitikkan hebahan luar yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi.
Apa Reaksi Anda?











