RISDA Bukti Keikhlasan UMNO Bela Nasib Bangsa

Oleh : BARD
Mei 8, 2026 - 10:00 MYT
RISDA Bukti Keikhlasan UMNO Bela Nasib Bangsa

Pandangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengenai peranan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebagai antara pendekatan memperkasa hak istimewa bumiputera disifatkan tepat dan berasas.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, fakta bahawa 580,000 pekebun kecil getah menerima manfaat daripada bantuan RISDA membuktikan agenda pembangunan bumiputera yang diperjuangkan UMNO sejak dahulu terus relevan hingga hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 93 peratus daripada pekebun kecil yang dibantu menerusi program tanam semula, pembangunan ekonomi dan pemerkasaan komuniti terdiri daripada golongan bumiputera.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi bukti nyata bagaimana dasar yang diasaskan UMNO sejak dahulu berjaya mengangkat taraf hidup rakyat khususnya masyarakat Melayu luar bandar,” katanya ketika ditemui sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO yang telah berlangsung dengan jayanya Sabtu lalu.

Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, sejarah penubuhan RISDA sendiri tidak boleh dipadamkan kerana agensi itu diwujudkan pada tahun 1973 ketika Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menerajui negara dan memimpin UMNO.

“Allahyarham Tun Razak memahami denyut nadi rakyat luar bandar. Sebab itu UMNO ketika itu bukan hanya bercakap soal perjuangan politik semata-mata, tetapi membina institusi yang benar-benar membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang lebih 60 tahun UMNO memegang tampuk kepimpinan kerajaan sehingga tahun 2018, parti itu telah berjaya mentransformasikan kehidupan orang Melayu dan bumiputera dalam pelbagai sektor.

“UMNO telah mengubah wajah orang Melayu. Jika dahulu ramai hidup serba kekurangan, hari ini orang Melayu mampu berada di bandar, menjadi profesional, usahawan dan peneraju pelbagai industri hasil peluang yang dibuka melalui dasar kerajaan pimpinan UMNO,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan itu perlu dihayati oleh generasi muda agar sejarah perjuangan parti tidak dipandang ringan malah menyambut idea baharu dari Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dalam usia 80 tahun, UMNO bukan sekadar parti politik, tetapi sebahagian daripada sejarah pembinaan negara dan kebangkitan bangsa Melayu serta bumiputera,” katanya lagi.

Mandzri turut menegaskan bahawa semangat perjuangan UMNO perlu diteruskan demi memastikan agenda memperkasa rakyat dan mempertahankan hak bumiputera kekal menjadi keutamaan negara. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow