Tanah Anugerah… Rakyat Tuntut Penjelasan Isu Mahligai Sanusi
Rakyat masih menunggu penjelasan mengenai isu mahligai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kata Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Ujarnya, perkara tersebut turut menyerlahkan sikap politik ‘double standard’ Pas yang melabel UMNO sebagai ‘sakau’ apabila memiliki harta, namun apabila melibatkan pihak sendiri ia dianggap sebagai ‘anugerah’ dan mengikut proses.
“Isu ini bermula apabila Sanusi sendiri selama ini terlalu kerap menyerang UMNO dan pimpinan UMNO dengan pelbagai label serta persepsi. Dikatakan ‘sakau’, tembolok besar, pemimpin UMNO kalau kaya mesti cara salah, kumpul harta untuk diri sendiri… kononnya Pas berbeza, lebih bersih dan lebih suci daripada semua itu.
“Apabila naratif begitu dimainkan berulang kali, akhirnya rakyat mula bertanya balik perkara yang sama. Persoalannya mudah saja ‘mahligai’ yang diperkatakan itu hari ini milik siapa? Dibina di atas tanah status bagaimana? Apabila muncul pula penjelasan tidak rasmi daripada penyokong bahawa Lot B itu juga adalah ‘tanah anugerah’, seperti Lot A yang dikaitkan dengan tanah anugerah milik Allahyarham nenek saya, maka rakyat mula nampak satu perkara yang menarik.
“Kalau benar begitu, bukankah maksudnya proses itu juga datang daripada sistem dan kaedah sama yang selama ini mereka serang terhadap orang lain? Di mana bezanya? Selama ini, apabila pemimpin UMNO ada rumah besar atau menerima tanah, terus dibina persepsi seolah-olah semuanya salah dan penuh penyelewengan. Tetapi apabila terkena pihak sendiri, tiba-tiba semuanya menjadi ‘ikut proses’, ‘tanah anugerah’, ‘ada kelulusan’ dan ‘jangan fitnah’,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, penjelasan diberikan oleh Sanusi berkaitan isu tersebut adalah jauh menyimpang daripada persoalan dikemukakan rakyat.
“Semakin banyak artikel keluar, semakin panjang penjelasan yang diberi. Tetapi, semakin jauh mereka lari daripada persoalan asas yang rakyat persoal dari awal. Mereka cerita pasal fitnah, dengki politik, strategi komunikasi, musuh politik takut akan Sanusi, ‘zoom’ rumah, main persepsi dan macam-macam lagi.
“Tetapi, sampai ke hari ini rakyat masih menunggu jawapan yang sama. Apa status tanah hari ini? Bagaimana status hak milik sebenar? Kelulusan pembinaan dibuat atas lot apa? Kalau tiada hak milik yang jelas, bagaimana pembiayaan pembinaan dibuat sedangkan institusi kewangan lazimnya memerlukan cagaran dan geran yang sah untuk meluluskan pinjaman?
“Itu sahaja. Tidak perlu alih kepada emosi dan simpati. Sebab apabila isu teknikal dijawab dengan emosi, rakyat mula nampak ada perkara yang cuba dielakkan daripada dijawab secara terus,” katanya lagi.
Jelasnya, Lot B mahligai tersebut menimbulkan tanda tanya kerana ia tidak muncul sebagai lot individu yang jelas.
“Saya sendiri ada melakukan semakan melalui aplikasi myLot JUPEM seperti ramai rakyat lain juga. Lot A mungkin jelas dan mudah difahami sebagai lot yang berstatus lengkap. Tetapi Lot B pula menimbulkan tanda tanya kerana kedudukannya seolah-olah masih berada dalam geran besar. Maka rakyat pun mula bertanya kalau benar itu tanah anugerah yang lengkap, mana nombor hak milik individunya?
“Saya tidak pernah menuduh semua ini salah. Kalau semua proses lengkap dan sah, maka penjelasan yang tepat akan menutup semua spekulasi. Tetapi dalam politik hari ini, apabila soalan mudah dijawab dengan naratif yang terlalu panjang, rakyat mula rasa ada benda yang cuba dialihkan. Inilah yang saya maksudkan sebagai strategi ‘diversion’, alih fokus daripada persoalan teknikal kepada emosi, simpati dan persepsi politik. Apakah yang cuba disembunyikan?
“Rakyat kena faham bahawa ini bukan lagi sekadar isu rumah. Ini isu hipokrasi politik dan permainan persepsi. Apabila orang lain dapat, mereka kata ‘sakau’. Apabila pihak sendiri terima, mereka kata itu hak, proses dan kelulusan kerajaan. Jadi sebenarnya yang rakyat persoalkan hari ini bukan semata-mata rumah itu, tetapi standard yang berubah ikut selera,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa rakyat kini semakin bijak dalam menilai segala isu yang terjadi.
“Dalam politik, kalau kita memilih untuk menuduh dan melabel orang lain terlebih dahulu, maka jangan terkejut apabila rakyat mula bertanya balik perkara yang sama kepada kita.
“Sebab hari ini rakyat bukan bodoh macam dulu. Mereka lihat, baca dan banding. Semakin cuba alih topik, semakin rakyat rasa soalan asal itu sebenarnya lebih penting. Lain kali, sebelum menuding jari kepada orang lain, cermin diri sendiri dahulu,” katanya lagi.
Terdahulu, tular sebuah video di laman sosial memaparkan Sanusi mengakui bahawa beliau telah memperoleh ‘tanah anugerah’.
Video tersebut dipercayai dirakamkan ketika menyampaikan ucapan di Padang Terap, pada Rabu.
Apa Reaksi Anda?











