Annuar Musa Melayu Mudah Lupa
Kenyataan Tan Sri Annuar Musa, mantan pemimpin UMNO yang kini menjadi ahli PAS, yang cuba “menempelak” Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail jelas memperlihatkan satu sikap politik yang penuh hipokrasi dan mudah lupa sejarah sendiri.
Beliau hari ini bercakap seolah-olah UMNO Pahang mengkhianati perjuangan Melayu kerana berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP. Sedangkan rakyat masih belum lupa, suatu ketika dahulu Annuar Musa sendiri adalah antara pemimpin UMNO paling lantang mendesak parti itu membuka pintu kerjasama dengan DAP dan parti-parti lain.
Annuar Musa ketiaka menjawat jawatan Setiausaha Agung UMNO pernah berkata:
“UMNO bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk DAP. Formula lama Barisan Nasional sudah ketinggalan zaman. Kita perlu pragmatik.”
Hari ini beliau mahu bercakap soal maruah Melayu?
Inilah masalah ahli politik yang terlalu ghairah mengejar pentas politik baharu sehingga sanggup melupakan segala kenyataan dan pendirian lama sendiri.
Ketika beliau masih berada dalam UMNO dan mempunyai kepentingan dalam parti, kerjasama dengan DAP dianggap pragmatik dan sesuai dengan “Malaysia Baharu”. Tetapi apabila beliau sudah menyertai PAS, tiba-tiba kerjasama yang sama dianggap dosa besar dan pengkhianatan Melayu.
Ini bukan prinsip. Ini oportunisme politik tahap tertinggi.
Annuar Musa juga seolah-olah lupa siapa yang membina nama dan karier politik beliau selama puluhan tahun. UMNO-lah parti yang mengangkat beliau daripada akar umbi sehingga menjadi menteri, setiausaha agung parti dan tokoh nasional. Bukan PAS.
Tetapi hari ini, selepas tidak lagi mendapat tempat dalam UMNO, beliau memilih untuk menyerang parti yang pernah memberinya segala-galanya. Sikap seperti inilah yang membuatkan rakyat semakin muak dengan politik dendam dan politik kecewa.
Sebelum itu, Penasihat DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian Kerajaan Perpaduan apabila mempertikaikan keikhlasan UMNO dan Barisan Nasional.
Sebagai pemimpin kanan UMNO, Wan Rosdy tampil mempertahankan maruah parti dan menegur Lim Guan Eng supaya tidak menjadi “batu api”. Itu sahaja.
Tetapi entah mengapa Annuar Musa pula yang melatah lebih-lebih, seolah-olah beliau jurucakap rasmi DAP atau sedang terdesak mahu membuktikan kesetiaan baharu kepada PAS.
Beliau kemudian cuba memusingkan naratif kononnya UMNO Pahang menolak penyatuan Melayu kerana bekerjasama dengan DAP.
Hakikatnya, kalau mahu bercakap soal bekerjasama dengan DAP, PAS sendiri mempunyai rekod politik yang jauh lebih panjang bersama DAP berbanding UMNO.
Tahun 2008, PAS bergabung dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat atas nama Tahaluf Siyasi sehingga berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional di beberapa negeri. Ketika itu, adakah PAS dianggap pengkhianat Melayu?
Tahun 2019 pula, Muafakat Nasional diwujudkan bagi menyatukan UMNO dan PAS. Namun akhirnya PAS memilih untuk bersama PPBM dalam Perikatan Nasional. Jadi siapa sebenarnya yang berkali-kali meninggalkan agenda penyatuan Melayu?
Kalau mahu terus bermain sentimen bahawa bekerjasama dengan DAP itu pengkhianatan, maka PPBM yang kini menjadi sekutu PAS juga pernah duduk semeja dengan DAP sehingga tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pada 2018.
Jadi janganlah bersikap seolah-olah UMNO sahaja berdosa, sedangkan rakan-rakan politik sendiri mempunyai sejarah yang sama.
Lebih menarik, walaupun di Pahang UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang di dalamnya ada DAP, realitinya UMNO tetap menjadi tunjang utama pentadbiran negeri.
Daripada 10 orang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, 8 daripadanya terdiri daripada pemimpin UMNO. Menteri Besarnya juga daripada UMNO. Dasar kerajaan negeri pula tetap dipandu oleh kepimpinan UMNO yang menjaga kepentingan Melayu dan Islam.
Malah peruntukan untuk agenda Islam di Pahang bukan sahaja tidak berkurang, tetapi terus meningkat saban tahun di bawah pentadbiran Wan Rosdy. Institusi agama diperkasa, sekolah agama dibantu, masjid dan surau terus diberikan perhatian.
Jadi di mana logiknya dakwaan kononnya UMNO Pahang sudah tunduk kepada DAP?
Hakikatnya, UMNO di Pahang masih mengawal kerajaan dengan stabil, matang dan berpijak pada realiti politik semasa tanpa mengorbankan agenda Melayu dan Islam.
Annuar Musa sepatutnya faham bahawa politik bukan kitab suci yang statik. Politik bergerak mengikut realiti semasa dan keperluan rakyat. Apa yang dilakukan UMNO Pahang hari ini adalah demi kestabilan kerajaan dan kepentingan negeri, bukannya kerana tunduk kepada DAP.
Jika benar Annuar Musa begitu ikhlas mahu melihat perpaduan Melayu, maka beliau sepatutnya menyokong gagasan “Rumah Bangsa” yang diusulkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Namun apabila gagasan itu diketengahkan, beliau jugalah yang paling awal menyindir dan memperlekehkan usaha tersebut.
Maka rakyat boleh menilai sendiri.
Siapa sebenarnya yang ikhlas mahu perpaduan Melayu, dan siapa pula yang hanya menjadikan isu Melayu sebagai modal politik untuk terus relevan selepas ditolak parti sendiri.
Annuar Musa perlu berhenti bersikap seperti “Melayu mudah lupa”. Jangan lupa kenyataan sendiri. Jangan lupa sejarah sendiri. Dan paling penting, jangan lupa parti mana yang mengangkat beliau sehingga dikenali seluruh negara.
Apa Reaksi Anda?











