Pahang Rancang Tambah Peruntukan Inisiatif Barakah Haji

Oleh : BARD
April 24, 2026 - 10:00 MYT
Pahang Rancang Tambah Peruntukan Inisiatif Barakah Haji

Kerajaan Negeri Pahang merancang untuk menambah peruntukan Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji pada masa akan datang, tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa. Menteri Besar, YAB Dato, Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu dipertimbang susulan sambutan positif terhadap inisiatif berkenaan.

Sejak diperkenalkan pada 2023 dengan bantuan RM500, kadar sumbangan telah dinaikkan kepada RM750 pada tahun ini serta diperluaskan kepada anak Pahang di perantauan. Bagi tahun semasa, seramai 144 jemaah haji dalam kalangan perantau menerima sumbangan tersebut sebagai persediaan ke Tanah Suci.

Secara keseluruhan, program bantuan haji negeri melibatkan lebih 1,700 jemaah dengan implikasi kewangan dianggarkan sekitar RM3.2 juta, termasuk agihan yang telah dilaksanakan di Kuantan sebelum ini.

Kerajaan negeri turut menasihatkan jemaah agar memberi tumpuan penuh kepada ibadah serta mematuhi garis panduan pihak berkuasa seperti Lembaga Tabung Haji, mengambil kira faktor cuaca ekstrem di Arab Saudi yang boleh melebihi 40°C.

Dalam masa sama, kerajaan negeri sentiasa merujuk kepada Kementerian Luar Negeri Malaysia bagi memastikan aspek keselamatan jemaah terjamin.

Bagi tahun 2026, Pahang memperuntukkan lebih RM235 juta untuk memperkukuh pembangunan Islam, meliputi sekolah agama, institusi tahfiz, masjid, surau serta pelbagai program kebajikan termasuk bantuan makanan pelajar dan sokongan kepada jemaah haji.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow