Anak Temerloh Cemerlang Di Al-Azhar, Nurul Huda Raih Anugerah Tertinggi Sheikhul Azhar
Kejayaan anak kelahiran Temerloh, Nurul Huda Roslan, meraih Anugerah Tertinggi Imam Akbar Sheikhul Azhar pada Konvokesyen Kali Ke-20 Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar 2026 menjadi kebanggaan negeri Pahang dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Khairiah, Temerloh itu menerima pengiktirafan berprestij berkenaan hasil kecemerlangan akademiknya di Universiti Al-Azhar, Mesir, sebuah institusi pengajian Islam yang tersohor di peringkat dunia.
Lebih membanggakan, Nurul Huda yang telah memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Ulum Islam kini meneruskan perjuangan akademiknya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti sama.
Kejayaan beliau turut mencerminkan pencapaian graduan Malaysia apabila hampir 300 pelajar diraikan dalam majlis konvokesyen tersebut, manakala 30 orang menerima pengiktirafan kecemerlangan dalam pelbagai bidang pengajian termasuk bahasa dan pengajian Islam.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika mewakili Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis berkenaan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Prof. Dr. Osama As Sayyid Al Azhary.
Selain Nurul Huda, antara graduan Malaysia yang turut menerima pengiktirafan ialah Rabiatul Adawiyah Cik Suhaimi bagi kategori Mumtaz Ma’a Martabat Syaraf Pergigian, Ahmad Al Amin Amran (Mumtaz Al-Quran dan Qiraat) serta Nurma Haji Muhammad Qaree (Mumtaz Ma’a Martabat Syaraf Syariah Islamiah).
Menurut Syed Ibrahim, kejayaan para graduan khususnya anak Pahang diharap dapat diteruskan melalui sumbangan ilmu, kepakaran dan pengalaman dalam memperkukuh syiar Islam serta pembangunan ummah di tanah air.
Beliau turut menzahirkan harapan agar lebih ramai anak Pahang berjaya dalam bidang akademik dan tampil sebagai khadam agama yang menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Keurusetiaan merangkap Menteri Penasihat Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, YH Dato’ Samsul Najmi Samsudin; Rektor Universiti Al-Azhar, Prof. Dr. Mahmid Shadeq Hassan serta Penasihat Sheikhul Azhar bagi Pelajar Asing merangkap Dekan Fakulti Pengajian Ulum Islamiah Al-Azhar, Prof. Dr. Nahla Sabri Soiedy.
Pencapaian Nurul Huda membuktikan bahawa anak kelahiran Pahang mampu melangkah jauh dan bersaing di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menuntut ilmu, mengejar kecemerlangan dan menggunakan kepakaran yang dimiliki demi agama, masyarakat serta negara.
Apa Reaksi Anda?











