Dunia di ambang kebuluran

Oleh : BARD
April 20, 2026 - 10:00 MYT
Dunia di ambang kebuluran

Sejak bulan lalu, komuniti antarabangsa sudah diingatkan betapa pentingnya Selat Hormuz untuk menyokong ekonomi global.

Di sebalik kejutan terhadap pasaran, terdapat kesan yang lebih mendesak iaitu gangguan terhadap bantuan makanan yang berpotensi mencetuskan krisis kebuluran paling dahsyat dalam sejarah.

Menurut laporan agensi bantuan, kontena makanan khas yang pada mulanya dihantar dari Dubai merentasi Selat Hormuz terpaksa dikembalikan semula kepada gudang Program Makanan Sedunia (WFP).

Selain itu, kira-kira 70,000 tan metrik bekalan makanan dilaporkan turut terkandas selepas lintasan perkapalan strategik tersebut ditutup.

Ketika golongan yang terpaksa mengikat perut semakin kelaparan dan yang sakit kian tenat, pakar logistik kini bertungkus-lumus mencari laluan alternatif untuk menghantar bekalan makanan tersebut.

Krisis itu berisiko menyebabkan sumber kelangsungan hidup semakin sukar diperoleh oleh mereka yang sudah pun terjejas, khususnya di negara bergolak seperti Sudan dan Somalia yang berdepan krisis kebuluran teruk.

WFP menganggarkan akibat langsung konflik ini bakal menyaksikan jumlah populasi yang mengalami ketidakjaminan makanan akut akan meningkat sebanyak 24 peratus di Asia, Afrika Barat (21 peratus) Afrika Tengah (17 peratus) di Afrika Timur dan Selatan (16 peratus), Amerika Latin, Caribbean, Asia Barat serta Afrika Utara (14 peratus).

Ia juga memberi amaran kira-kira 45 juta lagi penduduk dunia berdepan risiko kebuluran teruk jika perang Amerika Syarikat (AS) - Iran berlarutan hingga akhir Jun depan dan harga minyak kekal melebihi AS$100 setong.

Ia, sekali gus melonjakkan jumlah keseluruhan ke paras rekod 363 juta orang di seluruh dunia. Kesannya akan paling dirasai di rantau yang sangat bergantung kepada import makanan dan bahan api yang kebanyakannya sudah pun terjejas dek konflik dan kemarau.

Walaupun krisis yang semakin meruncing ini jarang mempunyai perbandingan dalam konteks moden, satu analogi yang boleh dijadikan rujukan ialah kesan kempen pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022. Ketika itu, dunia bertindak secara kolektif untuk menangani impak peperangan tersebut.

Persoalan utama yang kini timbul ialah sejauh mana komuniti antarabangsa berupaya mengulangi pendekatan seumpama itu dalam menghadapi krisis yang dijangka lebih parah kali ini.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow