Pahang kukuh agenda pembangunan usahawan dalam ekosistem holistik
Penganjuran Malaysia East Coast Trade And Entrepreneur Expo 2026 merupakan komitmen Pahang dalam membuka ruang, membina jaringan dan mencipta peluang baharu kepada para usahawan dan pelabur.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia dirangka bagi memperkukuh agenda pembangunan usahawan negeri serta memperluas jaringan ekonomi melalui platform strategik menghimpunkan pemimpin kerajaan, pemain industri, usahawan dan agensi berkaitan dalam satu ekosistem yang holistik.
Menurutnya, ekspo berkenaan bukan sekadar medan himpunan, tetapi sebuah usaha berfokus untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri melalui pemindahan ilmu, pemerkasaan kapasiti serta pembentukan kolaborasi strategik merentas sektor.
"Setiap usaha yang digerakkan ini bukan sahaja menghasilkan pulangan pelaburan malah memberi nilai tambah menyeluruh kepada ekosistem ekonomi khususnya industri halal serta kesejahteraan rakyat.
"Melalui program itu, segala perkongsian ilmu, jaringan strategik dan peluang yang terjalin akan menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
"Inilah tekad kita, untuk terus memimpin dengan kestabilan, membangun dengan perancangan dan memastikan setiap kejayaan yang dicipta dapat dinikmati bersama oleh seluruh rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar sempena Malaysia East Coast Trade And Entrepreneur Expo 2026 di sini pada Sabtu.
Wan Rosdy berkata, sambutan terhadap ekspo berkenan amat memberangsangkan dengan penglibatan kira-kira 800 peserta dalam kalangan usahawan dan pemain industri.
"Semasa lawatan ke reruai pameran, rata-rata usahawan ditemui mengakui berjaya dalam perniagaan diceburi dan berhasrat untuk kembangkan lagi, jadi kita akan bantu," katanya.
Selain 26 reruai disediakan, Malaysia East Coast Trade And Entrepreneur Expo 2026 turut melibatkan komponen bengkel bersifat praktikal dan memberi pendedahan terus kepada peserta.
Bengkel berkenaan terdiri Bengkel Jom Celik Digital oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional; Go Viral oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA);
Super Affiliate" oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Smart Finance & Kredit Bijak" bersama institusi kewangan.
Seterusnya persidangan Pahang International East Coast Entrepreneurial Summit 2026 (PIECES 2026), menampilkan pelbagai sesi ucaptama dan forum.
Apa Reaksi Anda?











