Gagal Bayar Denda, Penceroboh Tanah Kerajaan Dipenjara Setahun,

Oleh : BARD
Mei 19, 2026 - 11:00 MYT
Gagal Bayar Denda, Penceroboh Tanah Kerajaan Dipenjara Setahun,

Seorang lelaki yang didapati menceroboh tanah Kerajaan Negeri Pahang di Kampung Permatang Perawan, Pekan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas gagal membayar denda RM200,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen.

Tertuduh, Cheong Chin Chong, sebelum itu disabitkan bersalah di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran. Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Tuan Azman Mustapha setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan dua jengkaut milik tertuduh dilucut hak kepada Kerajaan Negeri Pahang memandangkan mesin tersebut digunakan untuk aktiviti pencerobohan.

Akibat gagal menjelaskan denda besar itu, tertuduh kemudiannya diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 bulan di Penjara Penor.

Berdasarkan fakta kes, pada 8 Ogos 2023, tertuduh didapati menceroboh tanah kerajaan dengan membina laluan jalan menuju ke kawasan permit pembalakan berhampiran.

Serbuan dilakukan oleh anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), yang menemui tertuduh sedang mengendalikan dua buah jengkaut di kawasan tersebut.

Kes ini dianggap berprofil tinggi dan dibicarakan selama 1 tahun 2 bulan bermula Mac 2025.

Seramai 9 saksi pendakwaan dan 3 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan dalam usaha memastikan integriti tanah kerajaan dilindungi sepenuhnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Encik Muhammad Taqiuddin Azizan, Encik Muhammad Faisal Zaini dan Encik Izatul Fairus Loso dari UPNP, manakala tertuduh diwakili peguam Encik Kong Yit Har.

Ketika penghujahan, pihak pendakwaan menekankan bahawa tindakan tertuduh bukan sahaja menyebabkan kerosakan besar kepada struktur tanah, tetapi turut mengakibatkan ketirisan hasil kerajaan negeri, termasuk daripada kutipan permit serta hasil berkaitan tanah.

Pendakwaan turut memaklumkan bahawa kesalahan ini serius kerana undang-undang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, Penjara sehingga 5 tahun atau
Kedua-duanya sekali.

Peruntukan hukuman berat itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk membendung jenayah pencerobohan tanah yang semakin berleluasa di seluruh negara.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow