Predator seksual digital, ancaman senyap yang membimbangkan

Oleh : BARD
Mei 21, 2026 - 09:00 MYT
Predator seksual digital, ancaman senyap yang membimbangkan

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu mengenai predator seksual yang mengintai kanak-kanak membuka mata masyarakat bahawa ancaman terhadap golongan bawah umur kini semakin kompleks dan berbahaya.

Jika dahulu, jenayah seksual sering dikaitkan dengan ancaman fizikal di dunia nyata, hari ini pemangsa bergerak secara senyap dalam ruang lingkup digital.

Apa yang paling membimbangkan adalah kemampuan predator seksual atau pedofilia ini memanipulasi emosi dan psikologi kanak-kanak melalui media sosial, permainan dalam talian serta aplikasi komunikasi.

Mereka tidak lagi menggunakan pendekatan kasar, sebaliknya tampil sebagai 'kawan', individu penyayang atau pemberi perhatian sebelum mula mengeksploitasi mangsa.

Kanak-kanak yang masih mentah mudah terpedaya kerana tidak memahami risiko sebenar di sebalik hubungan maya tersebut.

Lebih membimbangkan apabila penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak berlaku tanpa kawalan ketat.

Ramai ibu bapa memberi akses telefon pintar pada usia terlalu muda, tetapi kurang memantau aplikasi digunakan, siapa yang dihubungi dan jenis kandungan ditonton.

Dalam sesetengah keadaan, ada antaranya tidak celik digital sehingga gagal mengesan tanda-tanda anak sedang menjadi sasaran.

Fenomena ini juga menunjukkan bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan lagi isu terpencil, sebaliknya ancaman sosial yang perlu ditangani secara menyeluruh.

Statistik kes yang meningkat saban tahun membuktikan masih wujud kelemahan dari sudut pendidikan keselamatan digital, penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran masyarakat.

Justeru, pendekatan lebih agresif mesti dilakukan segera.

Pendidikan keselamatan siber dan seksual perlu diperkenalkan secara lebih serius di sekolah agar kanak-kanak memahami konsep sentuhan selamat, privasi dan bahaya berkongsi maklumat peribadi di Internet.

Dalam masa sama, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dengan memantau penggunaan Internet di samping membina komunikasi terbuka supaya anak berani melapor jika diganggu.

Pihak berkuasa pula perlu memperkukuh pemantauan terhadap platform digital serta mempercepat tindakan terhadap individu yang terlibat dalam eksploitasi seksual kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, hukuman lebih tegas juga penting bagi memberi mesej bahawa jenayah sebegini tidak boleh dikompromi.

Hakikatnya, predator seksual wujud di sekeliling kita, termasuk di alam maya yang dilihat 'selamat'.

Tanpa tindakan menyeluruh daripada keluarga, sekolah, masyarakat dan kerajaan, lebih ramai kanak-kanak berisiko menjadi mangsa dalam diam.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow