3,000 permohonan Permata Makmur diterima setakat Mei

Oleh : BARD
Mei 18, 2026 - 09:00 MYT
3,000 permohonan Permata Makmur diterima setakat Mei

Kerajaan Pahang menerima kira-kira 3,000 permohonan daripada pasangan suami isteri bagi menerima manfaat inisiatif Permata Makmur setakat bulan ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Dato' Sabariah Saidan berkata, permohonan bagi program berkenaan telah dibuka dan kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 20,000 penyertaan setiap tahun.

"Inisiatif ini masih di buka walaupun anak lahir pada 2023, 2024 atau 2025, untuk tahun 2026 ini kita memang alu-alukan penyertaan dan permohonan masih dibuka.

"Bantuan yang diberikan melibatkan RM300 bagi setiap penerima iaitu RM50 dalam bentuk barangan keperluan dan RM250 menerusi simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)," katanya ketika ditemui di sini pada semalam.

Terdahulu, Sabariah merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Pahang 2026 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi mewakili YAB Menteri Besar Pahang

Beliau berkata, tahun ini, kerajaan negeri memperuntukan RM6.5 juta dalam Belanjawan Pahang 2026 bagi tujuan tersebut

Ujarnya, usaha ini dilakukan bagi meringankan beban kos awal penjagaan bayi, selain menggalakkan simpanan pendidikan anak sejak lahir.

Sabariah yakin program Permata Makmur akan terus diteruskan berikutan kedudukan kewangan negeri yang baik dan memberangsangkan.

"Insya-Allah kita akan cuba (capai sasaran).. memandangkan kewangan negeri baik dan begitu memberangsangkan, saya yakin kerajaan negeri akan meneruskan lagi program ini," katanya.

Menyentuh mengenai sambutan itu, Sabariah berkata, program ini bukan sahaja diadakan bagi menghargai jasa ibu bapa, malah turut diselitkan dengan penyerahan sumbangan Permata Makmur kepada penerima yang layak.

"Seramai 30 penerima disasarkan menerima sumbangan pada program berkenaan.

"Hari ini Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menambah RM100 simpanan SSPN kepada bayi yang hadir dan menyertai program tersebut," katanya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow