YB Pembangkang Tak Buat 'Homework", Exco Pula Dikata Hambar?

Oleh : BARD
Mei 15, 2026 - 16:33 MYT
YB Pembangkang Tak Buat 'Homework", Exco Pula Dikata Hambar?

Kenyataan Ketua Pembangkang Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa sesi penggulungan Exco dalam Sidang DUN kali ini “hambar” sebenarnya memperlihatkan kegagalan pembangkang memahami fungsi sebenar penggulungan kerajaan.

Hakikatnya, penggulungan Exco bukan sekadar medan berpolitik atau pentas untuk melayan retorik pembangkang semata-mata. Sebaliknya, ia digunakan untuk menerangkan dasar, hala tuju, perancangan serta pencapaian agensi kerajaan negeri kepada rakyat.

Apa yang disebut sebagai “perancangan agensi” itulah sebenarnya kerja kerajaan yang rakyat mahu dengar bagaimana ekonomi diperkasa, pelaburan dibawa masuk, kebajikan rakyat dijaga dan pembangunan negeri diteruskan.

Berbeza dengan pembangkang yang lebih gemar memainkan persepsi dan isu politik, kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail memilih untuk fokus kepada kerja dan hasil.

Lebih memalukan apabila ada wakil pembangkang yang membangkitkan soalan-soalan yang sebenarnya sudah pun dijelaskan secara terperinci dalam Buku Belanjawan Negeri. Contohnya Adun Kuala Sentul yang mempertikaikan ke mana hasil kutipan negeri sebanyak RM1.2 bilion dibelanjakan, sedangkan pecahan perbelanjaan, projek pembangunan, inisiatif rakyat dan pengurusan kewangan negeri semuanya terkandung dalam dokumen rasmi kerajaan.

Ini menunjukkan masalah sebenar bukan pada penggulungan Exco, tetapi pada sikap pembangkang yang gagal membuat homework sebelum masuk dewan.

Kerajaan negeri di bawah pimpinan Wan Rosdy Wan Ismail telah berkali-kali membentangkan pelbagai inisiatif untuk rakyat termasuk bantuan kebajikan, pembangunan infrastruktur, pengurusan hutang negeri yang semakin baik, pelaburan masuk serta program pembangunan luar bandar. Semua ini dibentangkan secara terbuka dalam sidang DUN.

Namun apabila pembangkang sendiri tidak membaca dokumen belanjawan, tidak mengikuti penggulungan Exco dan lebih gemar bermain persepsi politik, akhirnya mereka sendiri kelihatan tidak bersedia.

Sidang DUN bukan pentas untuk mencari tajuk politik semata-mata. Ia medan perbahasan dasar dan pentadbiran negeri. Kalau asas dokumen kerajaan pun tidak dibaca, jangan salahkan kerajaan apabila hujah pembangkang dilihat longgar dan tidak berkualiti.

Rakyat Pahang boleh menilai siapa benar-benar bekerja untuk negeri dan siapa sekadar datang untuk mencipta drama politik.

Kalau benar pembangkang mahu jawapan substantif, mereka juga perlu membawa hujah yang matang dan cadangan membina, bukan sekadar cuba mencipta naratif bahawa sidang DUN tidak menarik apabila kerajaan tidak melayan drama politik mereka.

Semalam, kerusi pembangkang sendiri kosong ketika barisan Exco kerajaan negeri sedang menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh mereka dalam Sidang DUN Pahang.

Inilah sikap tidak bertanggungjawab segelintir YB pembangkang yang gemar bertanya dan menyerang ketika sesi perbahasan, tetapi tidak berada dalam dewan untuk mendengar penjelasan serta jawapan rasmi daripada pihak kerajaan.

Kemudian apabila penggulungan selesai, mereka pula mendakwa sesi itu “hambar” dan kononnya kerajaan tidak menjawab isu rakyat.

Rakyat Pahang hari ini lebih bijak menilai. Mereka mahu melihat kestabilan, prestasi dan hasil kerja, bukannya politik merungut setiap kali kerajaan bercakap soal pembangunan negeri.

Kepada Tuan Ibrahim Tuan Man, jika itu pun dianggap “hambar”, rakyat Pahang pasti tertanya-tanya apa sebenarnya ukuran kejayaan di mata pembangkang?

Hakikatnya, di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Wan Rosdy Wan Ismail, hasil negeri meningkat empat tahun berturut-turut, menunjukkan ekonomi dan pengurusan kewangan negeri berada pada landasan yang kukuh.

Lebih 300,000 anak Pahang menerima pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kerajaan negeri melibatkan pendidikan, kebajikan, bantuan khas serta pembangunan rakyat.

Bukan itu sahaja, sebanyak RM235.95 juta diperuntukkan bagi memperkasa agenda Syiar Islam di Pahang termasuk pembangunan institusi agama, pendidikan Islam, kebajikan masjid dan pelbagai program berkaitan Islam.

Belum lagi puluhan juta ringgit dibelanjakan untuk bantuan kebajikan rakyat, pembangunan luar bandar, bantuan bencana, perumahan serta pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi.

 Pembangkang? Hanya pandai menjanjikan bulan dan bintang, menunggang agama demi survival politik sendiri!

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow