Buli bakal guru, apa cerminan masa depan pendidik negara?

Oleh : BARD
Mei 12, 2026 - 09:00 MYT
Buli bakal guru, apa cerminan masa depan pendidik negara?

Dakwaan buli melibatkan pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) di Kuching yang tular sejak beberapa hari lalu memberi gambaran tentang masa depan pendidik negara.

Peristiwa itu bukan sekadar isu pelanggaran tatatertib tetapi turut mencetuskan persoalan tentang nilai yang dibawa ke dalam institusi latihan guru.

Menurut dakwaan yang tersebar, sekumpulan pelajar junior lelaki sesi 2025/2030 dipercayai menjadi mangsa perlakuan tidak wajar oleh pelajar senior.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam tempoh beberapa jam pada waktu lewat malam hingga awal pagi melibatkan jumlah mangsa yang besar sehingga hampir 100 orang.

Apa yang lebih membimbangkan ialah bentuk perlakuan yang didakwa berlaku, termasuk paksaan melakukan aksi memalukan serta bunyi berunsur lucah.

Jika benar, ia bukan lagi sekadar ‘ragging’ biasa tetapi sudah menjurus kepada penyalahgunaan kuasa dan penghinaan maruah individu.

Dalam suasana institusi pendidikan, tindakan sebegini memberi kesan psikologi yang serius kepada mangsa terutama mereka yang masih dalam fasa awal latihan sebagai guru.

Tekanan emosi, rasa takut dan trauma berpanjangan boleh menjejaskan keyakinan diri serta prestasi akademik mereka.

Lebih penting, insiden seperti itu membawa mesej yang bercanggah dengan peranan IPG sebagai pusat melahirkan pendidik berintegriti kerana guru bukan sahaja mengajar subjek tetapi menjadi contoh sahsiah kepada generasi akan datang di bilik darjah.

Jika budaya sebegini benar berlaku tanpa kawalan ia boleh membentuk kitaran negatif dalam sistem pendidikan malah pelatih yang menjadi mangsa berisiko mengulangi budaya sama apabila mereka sendiri bergelar guru kelak sama ada secara sedar atau tidak.

Reaksi ibu bapa kepada pelajar juga menggambarkan kebimbangan mendalam terhadap keselamatan anak-anak mereka di institusi tersebut.

Maka sejauh mana pengawasan dilakukan terhadap aktiviti pelajar di luar waktu kuliah terutama pada waktu malam yang dilaporkan menjadi waktu kejadian.

Tanpa garis panduan yang jelas, ia boleh berubah menjadi ruang penyalahgunaan kuasa.

Pihak berkuasa pendidikan perlu melihat isu ini secara menyeluruh, bukan hanya sebagai kes terpencil kerana jika benar berlaku, tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan ia tidak berulang dan menjadi amalan yang dianggap normal.

Dalam masa sama, siasatan yang telus dan adil amat penting bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan termasuk pelajar yang didakwa terlibat.

Kejadian berkenaan menjadi peringatan bahawa pembentukan guru bukan hanya melibatkan akademik semata-mata tetapi juga pembinaan nilai dan etika berikutan tanpa asas yang kukuh, mustahil untuk melahirkan pendidik yang mampu mendidik masyarakat dengan berkesan dan berakhlak.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow