UMNO 80 Tahun: Dari Istana Kembali Ke Istana, Mengangkat Sejarah Perjuangan Bangsa
Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) semalam diadakan dalam suasana penuh simbolik dan bersejarah apabila Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke sesi fotografi di Tangga Selat, Istana Besar, Johor Bahru.
Detik bersejarah itu membawa makna mendalam kepada perjalanan panjang UMNO yang lahir di Istana Besar pada 11 Mei 1946 ketika pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim menerusi Kongres Melayu Ketiga yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar.
Selepas lapan dekad, UMNO kembali berhimpun di lokasi bersejarah sama sebagai simbol kesinambungan perjuangan yang tidak pernah terputus dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut oleh Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan tertinggi parti dan ahli-ahli UMNO yang hadir memeriahkan sambutan ulang tahun berkenaan.
Turut berangkat, Tunku Ismail Idris, Pemangku Sultan Johor yang bersama-sama menyertai acara penuh bersejarah itu.
Sesi fotografi di Tangga Selat bukan sekadar rakaman kenangan, tetapi menjadi lambang hubungan erat antara perjuangan UMNO dan institusi diraja Melayu yang sejak awal menjadi tunjang kepada penyatuan bangsa Melayu.
Seusai sesi tersebut, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil dipimpin oleh Pengerusi Biro Agama UMNO, Jamil Khir Baharom sebagai tanda kesyukuran serta penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang membina asas kekuatan parti itu.
Sambutan ulang tahun ke-80 ini turut menggambarkan perjalanan sebuah parti yang telah melalui pelbagai cabaran zaman, namun terus berdiri sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Daripada Istana Besar pada tahun 1946 hingga kembali ke istana pada ulang tahun ke-80 ini, UMNO terus membawa simbolik perjuangan yang bersama iaitu berpaksikan sejarah, berpijak pada tradisi dan melangkah menuju masa depan negara.
Apa Reaksi Anda?











