Tuduhan UMNO Hilang Arah Hanyalah Sandiwara Politik

Oleh : BARD
November 4, 2025 - 14:00 MYT
Tuduhan UMNO Hilang Arah Hanyalah Sandiwara Politik

Tuduhan bahawa kononnya UMNO kini hilang arah hanyalah sandiwara politik yang cetek dan tidak berasas, kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, Abdullah Zaki Fadzil.

Ujarnya, istilah ‘UMDap’ yang ditimbulkan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah disebabkan UMNO/Barisan Nasional (BN) mengambil langkah untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) demi kepentingan rakyat.

“Istilah ‘UMDap’ mula timbul selepas BN yang ditunjangi oleh UMNO bersetuju dengan saranan Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH.

“Langkah ini bukan keputusan semberono, sebaliknya demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat selepas keputusan pilihan raya yang menyebabkan parlimen tergantung.

“Namun, perlu difahami penyertaan BN dalam Kerajaan Perpaduan bukan bermakna UMNO tunduk atau taksub terhadap PH, apatah lagi terhadap Dap. Orang BN tidak pernah mengibar bendera Dap, mengangkat pemimpin Dap sebagai idola dan menjadikan mereka simbol perjuangan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tegasnya, pihak yang lantang menuduh UMNO bersama Dap pernah mengagung-agungkan parti tersebut sehingga mengibarkan bendera dan mengabaikan prinsip demi kelangsungan politik mereka.

“BN kekal dengan identiti, dasar dan perjuangan sendiri berpaksikan agama, bangsa dan tanah air. Ironinya, pihak yang kini lantang menuduh UMNO kononnya ‘bersama Dap’ sebenarnya pernah satu ketika dahulu mengagung-agungkan DAP ketika mereka bersama dalam blok pembangkang.

“Bendera DAP dikibarkan tinggi, pemimpin DAP disanjung, malah mereka sanggup menutup mata terhadap prinsip demi kelangsungan politik ketika itu.

“Justeru, tuduhan kononnya UMNO kini hilang arah hanyalah sandiwara politik yang cetek dan tidak berasas. UMNO dan BN tetap teguh dengan perjuangan asal, membela rakyat, menjaga kestabilan dan memastikan Malaysia terus makmur dalam suasana politik yang matang serta berhemah,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow