Gesa Siasatan Isu RM14 Juta MUIS Diperluas
UMNO Sabah menggesa agar siasatan terhadap dakwaan pemindahan dana RM14 juta dalam Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) diperluaskan, termasuk pelaksanaan audit forensik penuh ke atas keseluruhan rekod kewangan agensi berkenaan.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, berkata isu itu bukan perkara kecil atau kesilapan teknikal yang boleh diselesaikan dengan alasan “penambahbaikan tadbir urus”.
“Ini adalah soal amanah terhadap dana zakat umat Islam yang wajib diurus secara telus dan berlandaskan hukum serta undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memperluas skop siasatan bagi merangkumi semua transaksi bank, rekod kewangan, arahan dalaman serta minit mesyuarat Majlis MUIS.
Datu Rosman turut meminta SPRM menjelaskan secara terbuka bentuk isu tadbir urus yang dikesan dalam pengurusan dan agihan zakat MUIS, seperti yang disebut dalam sembilan syor yang dikemukakan kepada pihak berkenaan baru-baru ini.
“Penjelasan terbuka penting bagi mengelak kekeliruan serta memastikan integriti institusi agama negeri tidak terus dipersoalkan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan perkembangan siasatan berhubung dakwaan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif MUIS mengarahkan pemindahan RM14 juta daripada Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) tanpa kelulusan Majlis.
Walaupun MUIS menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah berniat jahat, katanya, SPRM tidak boleh bergantung kepada penafian semata-mata.
“Pemeriksaan forensik ke atas keseluruhan kewangan MUIS perlu dijalankan bagi membuktikan atau menafikan dakwaan tersebut berdasarkan fakta, bukan persepsi,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah RM14 juta itu mewakili hampir 10 peratus daripada kutipan zakat keseluruhan MUIS berjumlah RM141 juta tahun lalu dan setiap sen daripadanya merupakan hak asnaf yang layak menerima bantuan.
“Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh kepercayaan rakyat terhadap pengurusan dana umat Islam di Sabah,” tegasnya.
Datu Rosman menegaskan bahawa ketelusan hasil siasatan merupakan tuntutan moral dan tanggungjawab agama.
“Rakyat tidak memerlukan alasan, tetapi penjelasan. Mereka tidak mahu janji ‘penambahbaikan’, tetapi penyelesaian sebenar siapa arah, siapa lulus, dan ke mana wang RM14 juta itu pergi,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











