Pahang Terus Jadi Tumpuan Pelabur, Hab Industri Strategik Pantai Timur
Kerajaan Negeri dan Persekutuan komited memastikan Pahang kekal sebagai destinasi pelaburan utama serta hab industri strategik di Pantai Timur, sekali gus terus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai nadi ekonomi serantau.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, berkata demikian selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri Kuantan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kampus Kuantan di Gebeng, pada Ahad.
“Saya hadir ke ADTEC sebagai wakil rasmi YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Kawasan Perindustrian Gebeng misalnya menjadi antara hab pelaburan utama Pahang bukan sahaja dalam sektor kimia dan petrokimia, tetapi juga automotif, keluli tahan karat, gentian simen serta teknologi hijau,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah beliau, kedudukan strategik Gebeng yang berhampiran Pelabuhan Kuantan serta laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dibina menjadikan kawasan itu semakin berdaya saing.
“Gabungan lokasi strategik dan sokongan infrastruktur menjadikan Gebeng pusat logistik dan perindustrian yang mampu menarik lebih banyak pelabur berkualiti tinggi,” ujarnya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan akan terus memastikan pembangunan industri di Pahang diperkukuh agar negeri ini kekal menjadi tumpuan pelabur domestik dan antarabangsa.
Terdahulu, Dato’ Sri Wan Rosdy turut hadir sebagai wakil rasmi Perdana Menteri ke Majlis Perasmian Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK2025) di Temerloh.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga dan kagum terhadap semangat para usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang disifatkan sebagai tulang belakang ekonomi negara.
“Golongan usahawan kecil inilah yang menggerakkan roda ekonomi di setiap penjuru, mencipta peluang pekerjaan dan membina kekuatan ekonomi di peringkat akar umbi,” katanya.
Sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK), beliau yakin sektor PMKS akan terus berkembang dengan sokongan berterusan daripada kerajaan.
“Saya yakin sektor PMKS akan terus maju dan berdaya tahan, menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi rakyat serta negeri Pahang khususnya.
Semoga semangat keusahawanan ini terus subur dan membantu para usahawan mencapai impian demi keluarga, masyarakat dan negeri tercinta,” tambahnya.
Langkah berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pelaburan dan menyokong usahawan kecil membuktikan komitmen Pahang untuk membangun secara inklusif dan mapan serta sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai ekonomi maju berdaya tahan di rantau ini.
Apa Reaksi Anda?











