Israel kian terasing

Dua tahun selepas melancarkan perang di Genting Gaza yang meragut lebih 67,000 nyawa serta menyebabkan kebuluran dan kemusnahan besar, Israel kini semakin terasing di pentas antarabangsa dan berpecah di dalam negara sendiri.
Semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hujung September lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berdepan tindakan protes apabila ramai wakil negara meninggalkan dewan sebagai bantahan terhadap apa yang digelar ramai sebagai “perang genosid” ke atas Gaza.
Di peringkat global, Israel kini lebih bergantung kepada sokongan mutlak Amerika Syarikat (AS) berbanding sebelum ini, sementara sekutu rapat seperti United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman turut mengecam tindakan tenteranya di Gaza.
Di dalam negara pula, imej Israel sebagai “demokrasi liberal progresif” kian hancur, digantikan dengan suasana gelap, keras dan ekstrem.
Bekas duta Israel ke AS, Alon Pinkas berkata, masyarakat Israel kini “terluka dan marah” apabila berdepan kecaman antarabangsa.
“Dulu bangunan terkenal di dunia diterangi warna bendera Israel pada Oktober 2023, kini negara itu disisih,” katanya kepada Al Jazeera.
Penganalisis lain, Yossi Mekelberg dari Chatham House, menyatakan Israel “masih terperangkap pada 7 Oktober”, merujuk kepada serangan Hamas dua tahun lalu yang dijadikan justifikasi terhadap segala tindakan ketenteraan.
“Dunia sudah bergerak ke hadapan, tetapi Israel masih di situ apabila menjadikan setiap penduduk Gaza sebagai sasaran dengan alasan serangan itu,” katanya.
Ahli sains politik Ori Goldberg pula menggambarkan masyarakat Israel kini “letih tetapi semakin ganas”, terbahagi kepada kumpulan yang menyokong, menentang atau tidak peduli dengan perang yang berlanjutan tanpa henti.
Katanya, kesan perang jelas kelihatan iaitu daripada peningkatan kes bunuh diri dan tekanan pasca trauma dalam kalangan tentera simpanan sehinggalah kepada keganasan domestik yang meningkat.
Pihak perubatan di Israel turut melaporkan peningkatan kes gangguan mental yang serius dalam kalangan veteran perang, malah sesetengahnya mengambil nyawa sendiri akibat trauma yang berpanjangan.
Golongan keluarga tebusan pula terus mengadakan demonstrasi mingguan menuntut kerajaan mencari jalan politik bagi membebaskan orang tersayang yang masih ditahan di Gaza.
Namun, suara mereka semakin tenggelam dalam hiruk-pikuk politik yang dikuasai sayap kanan dan blok keagamaan ultraortodoks.
Di arena politik, Netanyahu terus mengekalkan kuasa dengan bergantung kepada sekutu sayap kanan seperti Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich, yang kini mempunyai pengaruh besar dalam menentukan dasar negara.
Kedua-dua tokoh itu sering menggunakan retorik keagamaan ekstrem dan menolak sebarang kompromi terhadap rakyat Palestin, sekali gus memburukkan imej Israel di mata dunia.
Menurut Mekelberg, “Politik Israel sedang bertarung untuk jiwanya,” sambil menegaskan pengaruh ekstremis agama semakin menjerumuskan negara ke arah autoritarianisme.
Beberapa penganalisis turut menyifatkan Ben-Gvir dan Smotrich menggunakan perang sebagai peluang untuk memperkukuh penguasaan terhadap Tebing Barat dengan memperluas penempatan haram Yahudi.
Tindakan itu mengundang bantahan antarabangsa, termasuk dari Kesatuan Eropah (EU) yang menuduh Israel sengaja menyalahi undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, semakin banyak negara seperti United Kingdom, Kanada, Perancis dan Australia kini mengiktiraf Palestin serta mengecam tindakan ketenteraan Israel, manakala EU mempertimbangkan sekatan perdagangan terhadap menteri sayap kanan Israel.
Daripada 192 negara anggota PBB, 159 kini mengiktiraf Palestin iaitu hanya AS kekal menolak pengiktirafan itu.
Selain itu, beberapa institusi antarabangsa termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah membuka siasatan terhadap dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dilakukan tentera Israel.
Tindakan tersebut menambah tekanan terhadap Netanyahu yang kini turut berdepan tuduhan rasuah di mahkamah domestik sejak 2019.
Dalam kalangan rakyat Israel sendiri, sokongan terhadap kepimpinan Netanyahu dilaporkan semakin merosot dengan siri tunjuk perasaan besar-besaran menuntut beliau meletak jawatan.
Namun, blok kanan radikal dalam kerajaan terus mempertahankan Netanyahu sebagai “pelindung Israel” walaupun dasar kerasnya telah memecahbelahkan masyarakat.
Di jalanan Tel Aviv dan Haifa, suasana tegang semakin ketara apabila penentang perang sering diganggu kumpulan nasionalis yang menuduh mereka sebagai pengkhianat.
Ramai rakyat Israel juga mula mempersoalkan masa depan negara mereka yang kini diselubungi ketakutan, kemarahan dan kebencian tanpa penghujung.
Pinkas menyimpulkan, “Dulu Israel berbangga berada dalam ‘liga berbeza’. Kini, ia berada dalam liga yang sama dengan Korea Utara iaitu dibenci dan disisihkan oleh dunia.”
Apa Reaksi Anda?






