Andansura Ghairah Nak Rampas, Tapi PAS Sendiri Bakal Terkubur di Pahang

Oleh : BARD
Oktober 8, 2025 - 16:31 MYT
Andansura Ghairah Nak Rampas, Tapi PAS Sendiri Bakal Terkubur di Pahang

Kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu seperti yang dilaporkan portal media hari ini yang berangan-angan PN hanya perlukan “lima atau enam” kerusi untuk tawan Pahang dalam PRU akan datang, jelas menunjukkan betapa jauhnya beliau daripada realiti politik semasa. Konon sudah “kenal pasti” kerusi yang boleh dimenangi, tetapi hakikatnya, banyak kerusi PAS sendiri kini menunggu masa untuk dirampas semula oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Andansura bercakap seolah-olah PAS berada di atas angin, sedangkan mereka sendiri tahu sebahagian besar kemenangan dalam PRU-15 dulu bukan hasil kekuatan sebenar, tetapi kesan perpecahan undi dan emosi semasa.

Sekarang keadaan sudah berubah. Pengundi sudah sedar bahawa wakil rakyat PAS di Pahang lebih banyak berpolitik daripada bekerja. Di DUN yang mereka menangi seperti Tanjung Lumpur, Lepar, Luit, Chenor dan Sungai Lembing  rakyat mula rasa kecewa kerana tiada pembangunan, tiada perubahan, dan tiada suara pembelaan.

Sementara PAS sibuk berceramah setiap minggu kononnya memperjuangkan Islam, kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail terus bekerja bantu rakyat, bina peluang ekonomi, dan urus kewangan negeri dengan cemerlang sehingga mendapat pengiktirafan Ketua Audit Negara. 

Jelajah Aspirasi Pahang 1st pula bukan sekadar turun bergambar, tapi benar-benar menyalurkan bantuan dan menyelesaikan masalah rakyat di akar umbi. Itu beza antara kerajaan yang bekerja dan pembangkang yang hanya tahu beretorik dan berjanji kosong.

Lucunya, Andansura bercakap tentang kerusi BN yang “majoriti kecil” seolah-olah itu peluang keemasan buat PN, tapi tak pula dia sebut kerusi PAS yang menang dengan majoriti nyawa-nyawa ikan, ada yang bawah 500 undi! Kalau ikut momentum semasa, bukan lima atau enam kerusi yang PAS akan tambah, tetapi lima atau enam kerusi yang mereka akan hilang. UMNO kini kembali teratur di bawah Pengerusinya, Dato Sri Wan Rosdy, jentera parti dihidupkan semula, dan sentimen rakyat terhadap pentadbiran negeri yang stabil semakin meningkat.

Lebih menggelikan hati, bila Andansura sebut Menteri Besar “tak perlu risau”, sedangkan yang sebenarnya resah ialah PAS sendiri. Mereka tahu program besar seperti Hogoh Jelai tidak lebih sekadar usaha terakhir untuk hidupkan semangat penyokong yang makin pudar. Himpunan 30,000 orang tak ubah seperti pesta retorik  riuh sehari, senyap setahun.

Realitinya, rakyat Pahang sudah muak dengan gaya politik PAS yang hanya tahu menabur janji syurga dan menakut-nakutkan orang dengan isu agama dan kaum. Di lapangan sebenar, mereka gagal tunjuk prestasi. Lihat sahaja negeri yang mereka perintah di SG4, tiada cerita kejayaan yang boleh dibanggakan semenjak mereka mentadbir, berbanding Pahang, 7 tahun di bawah pentadbiran Wan Rosdy, pelbagai cerita kejayaan telah kita dengar. Dengan pelbagai inisiatif dari bayi hingga warga emas tanpa melihat warna politik, agama dan bangsa. PAS boleh terus berangan mahu menawan Pahang, tapi apa yang bakal “ditawan” nanti hanyalah kerusi lipat dalam markas mereka sendiri.

Jadi pesan buat Andansura, sebelum sibuk hitung kerusi orang, baik kira dulu berapa kerusi sendiri yang masih boleh diselamatkan. Kerana kali ini, bukan PN yang akan “teraju Pahang”, tetapi rakyat yang akan menolak PAS kembali ke tempat asal mereka pembangkang yang hanya tahu bercakap, bukan bekerja.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow