BN Institusi Nasional Atas Prinsip Perkongsian Kuasa, Bukan Gabungan Politik Sementara
Exco Barisan Nasional (BN) Youth Volunteers Malaysia, Ali Amir Razali menyifatkan BN sebagai institusi nasional yang dibina atas prinsip perkongsian kuasa, kepercayaan antara parti komponen dan komitmen jangka panjang demi kestabilan negara.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Damansara berkata institusi Pengerusi BN juga bukan simbol individu, tetapi lambang kepimpinan gabungan yang dipersetujui secara konsensus oleh parti-parti komponen dan menghormati institusi ini adalah asas kepada kestabilan BN.
“BN bukanlah gabungan politik sementara yang dibentuk untuk memenuhi kepentingan jangka pendek mana-mana pihak.
“Sebarang perbezaan pandangan, rasa tidak puas hati atau isu dalaman sepatutnya dibincangkan melalui saluran berinstitusi, bukan dilontarkan kepada umum sehingga melemahkan keyakinan rakyat terhadap BN sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Ali kenyataan terbuka yang bersifat reaktif dan emosional tidak membawa sebarang kebaikan, sebaliknya ia hanya mengukuhkan persepsi bahawa BN berpecah dan hilang disiplin dalaman.
Katanya dalam realiti politik semasa yang mencabar, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak matang, malah tidak bertanggungjawab terhadap kepentingan gabungan dan negara.
“BN telah melalui fasa kemenangan dan kekalahan bersama. Kesetiaan kepada gabungan tidak seharusnya bersifat selektif setia ketika senang, tetapi mempertikai institusi apabila berdepan cabaran. Inilah ujian sebenar kepada semangat setiakawan dan keikhlasan dalam sebuah gabungan politik.
“MIC perlu melakukan muhasabah politik secara jujur dan menyeluruh. Pertimbangkan semula peranan dan tanggungjawab sebagai parti komponen BN, dengar suara akar umbi, dan fahami implikasi jangka panjang sekiranya terus memberi gambaran bahawa BN boleh ditinggalkan sesuka hati.
“Keputusan politik yang didorong oleh tekanan sementara hanya akan merugikan semua pihak,” ujar beliau.
Sementara itu Ali turut berkongsi dapatan lapangan beliau ketika berinteraksi dengan generasi muda yang mahukan kestabilan, konsistensi dan kepimpinan berinstitusi.
“Sebagai Exco BNYV Malaysia, saya turun ke lapangan dapati mereka tidak tertarik dengan politik lompat gabungan atau naratif yang melemahkan institusi sedia ada.
“BNYV kekal komited mempertahankan BN sebagai wadah politik sederhana, inklusif dan berteraskan muafakat. Kami juga berdiri teguh mempertahankan institusi Presiden BN sebagai tunjang kepimpinan gabungan ini.
“Harapan kami agar MIC kembali kepada semangat asal penubuhan BN, menghormati institusi kepimpinan yang telah dipersetujui bersama, dan terus bersama memperkukuh BN demi kepentingan rakyat dan masa depan negara,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











