“Projek Negeri Gagal, Kroni PAS Untung?”
Beberapa hari ini, isu projek tebing runtuh di Terengganu kembali menghantui media sosial. Bagi orang luar, mungkin nampak macam satu lagi kes tebing rosak. Tetapi bagi mereka yang mengikuti perkembangan negeri ini, ia bukan sekadar runtuh, ia simbol bagaimana kegagalan pentadbiran negeri mengurus projek.
Apa yang membuatkan ramai terkejut sebenarnya bukan runtuhan itu sendiri, tetapi cara kerajaan negeri cuba mengalihkan cerita. Padahal, kalau kita buka mata sedikit, semuanya jelas. Projek ini bukan projek kerajaan pusat. Ini projek kerajaan negeri, siap jata negeri tertera besar di papan tanda, macam poster pilihan raya.
Dana memang datang daripada kerajaan Persekutuan, tapi itu sahaja peranan pusat. Yang mengurus, yang melantik kontraktor, yang menentukan kerja siapa, semua berada di bawah kerajaan negeri PAS Terengganu. Tapi bila runtuh, tiba-tiba ada yang sibuk menyalahkan orang lain. Macam biasa, skrip itu memang sudah ada dalam poket mereka.
Apa yang orang tak tahu, projek ini dilaksanakan melalui lantikan terus. Tak ada tender terbuka. Tak ada proses pemilihan kontraktor yang telus. Bila lantikan dibuat secara senyap, siapa yang dipilih dan atas sebab apa, tiada siapa tahu. Dan bila kerja tak berkualiti, rakyat pula yang terpaksa telan akibatnya.
Lebih memalukan, projek ini bukan kali pertama runtuh. Pernah runtuh sebelum ini, kerajaan negeri janji nak baiki cepat, konon semua terkawal. Tapi tak sampai dua bulan, runtuh balik. Orang ramai mula tanya kontraktor buat kerja betul-betul atau sekadar tampal mana yang perlu untuk ambil gambar siap projek?
Pihak tertentu cuba pula meletakkan tanggungjawab kepada JKR Pusat. Tetapi semua orang yang pernah terlibat dengan projek kerajaan tahu, JKR pusat cuma memantau. Kuasa penuh ada pada kerajaan negeri. Kalau kontraktor gagal, kalau kerja tak ikut spesifikasi, kalau kawalan kualiti lemah itu bukan salah pemantau. Itu salah pihak berkuasa yang melantik.
Yang paling kita kena ambil tahu, isu runtuhan ini bukan kes terpencil. Terengganu sejak di bawah PAS banyak kali terbabit dengan projek yang tak tahan lama. Tebing baru bina, runtuh. Jalan baru naik, pecah. Cerun siap semalam, menggelongsor hari ini. Semuanya dalam tempoh terlalu singkat.
Negeri lain pun ada pantai, ada ombak, ada monsun. Tetapi kenapa Terengganu paling teruk kena? Kerana masalahnya bukan pada laut. Masalahnya pada pentadbiran.
Rakyat Terengganu sebenarnya sangat bertuah. Negeri ini kaya, cantik, ada banyak potensi. Tetapi potensi itu tak akan bermakna jika cara mengurus projek masih di tahap sambil lewa. Bila duit rakyat digunakan untuk membaiki kesalahan yang sama berulang-ulang, itu bukan pembangunan itu pembaziran.
PAS boleh bercakap tentang integriti, boleh berceramah tentang pentadbiran Islam, boleh berjanji tentang keadilan. Tetapi integriti tidak lahir daripada ceramah, ia lahir daripada cara mereka mengurus amanah. Dan setakat ini, apa yang rakyat nampak ialah runtuhan demi runtuhan.
Sebelum PAS bercakap soal “Kasi Bagus Sabah”, eloklah mereka selamatkan dulu projek negeri sendiri. Barulah orang boleh percaya mereka betul-betul mampu memerintah.
Kerana apa yang berlaku hari ini bukan imej Darul Iman. Ia lebih menyerupai Darul Runtuh, dan malangnya, kerajaan negeri sendiri yang membinanya.
Apa Reaksi Anda?











