Kebangkitan BN Berteraskan Khidmat, Kecekapan Dan Kesiapsiagaan Masa Depan

Oleh : BARD
Jun 3, 2026 - 14:00 MYT
Kebangkitan BN Berteraskan Khidmat, Kecekapan Dan Kesiapsiagaan Masa Depan

Kebangkitan semula Barisan Nasional (BN) hari ini bukan lagi bersandarkan nostalgia atau rekod kejayaan lampau semata-mata, sebaliknya dibina menerusi komitmen berterusan untuk memperkukuh khidmat kepada rakyat, meningkatkan kecekapan organisasi serta mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan.

Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob berkata, pandangan yang diketengahkan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menerusi sebuah artikel yang disiarkan media tempatan mencerminkan hala tuju jelas gabungan itu dalam mendepani landskap politik yang semakin mencabar.

Menurut beliau, BN telah melalui pelbagai pengalaman penting sejak kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan tempoh tersebut dimanfaatkan untuk melakukan proses muhasabah, penambahbaikan serta pembinaan semula kekuatan parti.

“BN memahami bahawa rakyat hari ini menilai sesebuah parti bukan berdasarkan sejarah semata-mata, tetapi melalui keupayaan menawarkan penyelesaian terhadap isu semasa dan cabaran masa depan.

“Justeru, kebangkitan yang sedang dibina hari ini berasaskan tiga teras utama iaitu khidmat, kecekapan dan keupayaan mendepani masa depan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr. Zambry yang menegaskan bahawa BN perlu terus berubah, menyesuaikan diri dan kekal relevan dengan tuntutan politik semasa.

Tambah Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang, politik moden memerlukan parti-parti politik memahami perubahan yang sedang berlaku dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi digital, kecerdasan buatan, kos sara hidup serta perkembangan geopolitik global yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

“Rakyat mahukan kepimpinan yang mampu membaca perubahan dan menyediakan dasar yang bersesuaian dengan realiti semasa. Mereka mahu melihat kesediaan parti untuk menghadapi masa depan, bukan sekadar mengimbau kejayaan masa lalu.

“Dalam konteks ini, BN sedang memperkukuh keupayaannya untuk menjadi sebuah gabungan yang lebih progresif, inklusif dan responsif terhadap aspirasi rakyat,” ujarnya.

Beliau turut berpandangan bahawa pengalaman panjang yang dimiliki BN merupakan satu kekuatan penting, namun ia hanya akan memberi nilai sekiranya disertai kesediaan melakukan pembaharuan serta penyesuaian mengikut kehendak semasa.

“Pengalaman memberikan asas yang kukuh, tetapi masa depan menuntut keberanian untuk berubah. Sebab itu BN memberi penekanan kepada proses transformasi yang berterusan agar sentiasa relevan dengan kehendak rakyat dan perkembangan negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Suraya berkata penilaian sebenar terhadap segala usaha yang dilaksanakan tetap terletak di tangan rakyat.

“Rakyat akan menentukan sama ada perubahan yang sedang dibina benar-benar diterjemahkan melalui dasar yang berkesan, kepimpinan yang berwibawa dan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi masyarakat.

“Cabaran sebenar bukan untuk membuktikan BN pernah menjadi gabungan yang kuat, tetapi untuk membuktikan bahawa BN masih mempunyai kemampuan dan relevansi dalam membantu membina masa depan negara.

“Dalam era politik yang semakin berdaya digital dan pantas berubah, rakyat memilih berdasarkan siapa yang paling bersedia menghadapi hari esok. Itulah fokus yang sedang diberikan oleh BN pada hari ini,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow