7 tahun hilang: Abang dedah peristiwa sebalik kehilangan Acap
Keluarga Mohamad Ashraf Hassan atau Acap, peserta larian Gopeng Ultra Trail yang dilaporkan hilang sejak tujuh tahun lalu, mendakwa pernah menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan bantuan untuk mengesan mangsa.
Perkara itu didedahkan oleh abang Acap, Denny Leng, menerusi satu hantaran di Facebook yang mendapat perhatian ramai dan tular di media sosial.
Menurut Denny, sejak kehilangan adiknya pada 2019, pelbagai pihak tampil menawarkan bantuan, namun ada antaranya didakwa mengenakan bayaran yang tinggi kepada keluarga.
Beliau berkata, ramai yang mempersoalkan mengapa keluarga mereka tidak mendapatkan bantuan daripada individu tertentu yang mendakwa mempunyai kemampuan untuk membantu mencari Acap.
“Kami sering mendengar persoalan mengapa tidak meminta bantuan daripada individu tertentu. Hakikatnya, kami tidak tahu siapa yang benar-benar mampu membantu dan tidak mungkin dapat bertemu semua orang yang menawarkan pertolongan,” katanya.
Denny mendakwa terdapat individu yang mengaku sebagai perawat meminta bayaran sehingga RM18,000 sebagai syarat untuk membantu mengesan keberadaan Acap.
Katanya, ada juga pihak yang meminta wang berjumlah ribuan ringgit selepas mendakwa pernah berjaya membantu menyelesaikan kes kehilangan individu lain.
Menurut beliau, terdapat individu yang mencadangkan supaya keluarga mengadakan kenduri di puncak bukit dengan anggaran kos RM6,000.
Selain itu, ada juga yang mendakwa keluarga perlu membayar RM3,000 bagi tujuan ‘imbasan’ awal dan tambahan RM13,000 untuk meneruskan proses seterusnya sekiranya mahu menemui Acap.
Denny berkata, pelbagai lagi cubaan seumpama itu berlaku sepanjang tempoh kehilangan adiknya, namun keluarga memilih untuk tidak menghebahkannya dan kekal fokus terhadap usaha pencarian.
Beliau turut mendedahkan bahawa Ketua Polis Daerah Kampar ketika itu pernah menghubunginya selepas pihak polis mengesan beberapa cubaan pemerasan yang didakwa berlaku terhadap keluarganya.
“Selepas berbincang dengan ahli keluarga serta mengambil kira keadaan yang sedang kami hadapi ketika itu, kami memutuskan untuk tidak membuat laporan atau mendedahkan individu terbabit kepada pihak berkuasa.
“Bukan semua yang tampil menawarkan bantuan mempunyai niat sedemikian, tetapi memang ada yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Mohamad Ashraf Hassan yang lebih dikenali sebagai Acap dilaporkan hilang ketika menyertai acara larian Gopeng Ultra Trail di Bukit Batu Putih, Gopeng, Perak pada 23 Mac 2019.
Sehingga kini, selepas tujuh tahun berlalu, misteri kehilangan lelaki berusia 29 tahun itu masih belum terjawab dan keberadaannya masih gagal dikesan.
Apa Reaksi Anda?











