Permata Makmur 2026: Setiap Bayi Pahang Terima Sumbangan RM300

Oleh : BARD
Februari 19, 2026 - 10:00 MYT
Permata Makmur 2026: Setiap Bayi Pahang Terima Sumbangan RM300

Kerajaan Negeri Pahang meneruskan komitmen menjaga kebajikan rakyat melalui inisiatif Permata Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (I.M. Pahang) bagi tahun 2026, dengan menyediakan sumbangan RM300 kepada setiap bayi yang lahir di negeri ini.

Daripada jumlah itu, RM250 akan dimasukkan ke dalam Akaun Simpanan SSPN Prime sebagai tabungan awal pendidikan, manakala RM50 lagi diberikan dalam bentuk barangan keperluan bayi.

Majlis pelancaran program tersebut diadakan di Felda Kampung Sertik, menyaksikan 75 bayi menjadi kumpulan pertama menerima manfaat tahun ini. Pelancaran lebih awal dibuat untuk memastikan rakyat lebih peka terhadap kemudahan yang disediakan.

Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato' Sabariah Saidan, ramai ibu bapa sebelum ini tidak mengetahui mengenai program tersebut.

“Kita menerima banyak aduan tentang kurangnya maklumat. Pelancaran ini bertujuan memperluaskan hebahan supaya lebih ramai ibu bapa tidak terlepas peluang,” katanya, yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.

Majlis turut dihadiri Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang YB Dato' Amizar Abu Adam, ADUN Sabai YB V. Arumugam dan Ketua Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang, Puan Mazlina Mohamed @ Mohamad Lazim.

Pendaftaran Masih Dibuka

Bayi lahir tahun 2025: Pendaftaran secara dalam talian masih dibuka.

Bayi lahir tahun 2026: Pendaftaran bermula 9 Mac 2026.

Bayi lahir tahun 2024: Ibu bapa masih boleh mendaftar di pejabat SSPN terdekat dan menuntut barangan keperluan di pejabat ADUN masing-masing.

Sabariah turut menegaskan bahawa Permata Makmur adalah antara inisiatif penting kerajaan negeri dalam membina masa depan generasi baharu Pahang.

“Ini adalah cetusan idea Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy sejak beliau menjadi Menteri Besar. Jika kita mahu inisiatif seperti ini diteruskan, rakyat perlu terus menyokong kerajaan hari ini,” ujarnya.

Dengan kesinambungan Permata Makmur, Kerajaan Negeri Pahang sekali lagi membuktikan fokus utamanya adalah kebajikan rakyat serta pemerkasaan pendidikan sejak lahir sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan Pahang.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow